Skip to main content

Sambutan Ambang Merdeka UniSHAMS Meriah Diwarnai Pelbagai Acara Patriotik

| PRO UniSHAMS | Berita

    30 Ogos 2024 | Kuala Ketil – Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) telah menganjurkan program Ambang Merdeka sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-67 dengan penuh gemilang di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah (DTPHH) malam tadi.

    Program ini bermula pada jam 6.00 petang dan berakhir tepat pada jam 12.00 tengah malam, dengan pelbagai acara yang menggabungkan elemen keagamaan, kebudayaan, dan semangat patriotik.

    Acara dimulakan dengan Konvoi Motorsikal Merdeka yang diketuai oleh Imam Muda Azhar, menarik penyertaan ramai pelajar dan warga UniSHAMS. Pada masa yang sama, Gerai Jualan Souq Siswa @ Merdeka turut dibuka, menawarkan pelbagai barangan dan makanan kepada pengunjung.

    Majlis diteruskan dengan Bacaan Yasin dan doa selamat Dirgahayu Merdekaku sebagai tanda kesyukuran dan penghormatan terhadap perjuangan negara. Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Dato' Haji Mohd Harif, Naib Canselor UniSHAMS, hadir bersama ahli keluarga dan dif-dif kehormat untuk memeriahkan sambutan.

    Para hadirin disajikan dengan tayangan filem patriotik Mat Kilau, yang memaparkan keberanian dan semangat juang dalam mempertahankan tanah air. Program malam itu diteruskan dengan pelbagai persembahan patriotik yang mengharukan, bermula dengan pidato bertajuk "Malaysiaku Negaraku" oleh Aysha Putri Surihani Mohd Amy Azhar, puteri kepada Naib Canselor, yang berusia 9 tahun.

    Persembahan diteruskan dengan qasidah oleh kumpulan Shoutul Huffaz, deklamasi sajak, silat pentomen, dan beberapa lagi persembahan yang menghidupkan semangat kemerdekaan.

    Acara kemuncak ialah kiraan detik tengah malam dengan laungan Merdeka, yang menggamatkan suasana kampus UniSHAMS. Laungan Merdeka ini diketuai oleh Naib Canselor sendiri dan disusuli oleh nyanyian lagu-lagu kemerdekaan oleh semua yang hadir, sebagai tanda cinta kepada negara dan kesatuan warga UniSHAMS.

    Sambutan ini melahirkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan warga UniSHAMS dan melambangkan kecintaan serta penghargaan terhadap kemerdekaan tanah air.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan