43 Mahasiswa UniSHAMS Bakal Doktor Berjaya Lepasi Peperiksaan Akhir Profesional MBBS
25 Ogos 2024 | Kuala Ketil - Seramai 43 mahasiswa Kohort Keenam dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) telah berjaya lulus dalam Peperiksaan Akhir Profesional bagi Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS).
Peperiksaan yang diadakan dari 18 hingga 24 Ogos 2024 ini melibatkan dua fasa: Peperiksaan Teori yang berlangsung di kampus UniSHAMS, Kuala Ketil, dan Peperiksaan Klinikal yang diadakan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Peperiksaan tersebut dipantau dengan teliti oleh Prof. Dato' Dr. Raymond Azman Ali dari Fakulti Perubatan UiTM, yang bertindak sebagai Ketua Pemeriksa Luar.
Kejayaan ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan, menandakan kejayaan para mahasiswa dalam menamatkan proses pengajian mereka di UniSHAMS. Ia juga membuka jalan untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan sebagai doktor yang akan memberikan khidmat bakti kepada masyarakat.
UniSHAMS merakamkan ucapan tahniah kepada semua mahasiswa yang berjaya dalam peperiksaan ini. Diharapkan mereka akan terus menunjukkan dedikasi dan komitmen tinggi dalam bidang perubatan, demi kesejahteraan masyarakat dan ummah.
Kejayaan ini juga menjadi bukti kesungguhan dan komitmen para mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka, serta sokongan padu daripada Dekan, Timbalan Dekan, pensyarah, dan kakitangan Kulliyyah Perubatan & Sains Kesihatan UniSHAMS.