Skip to main content

NAIB CANSELOR

Prof. Dato’ Dr Asmadi bin Mohamed Naim
DSSS., PMK.
Ketua Eksekutif/Naib Canselor
Universiti Islam Antarabangsa
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS)

Dr. Asmadi Mohamed Naim ialah Naib Canselor di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang disertainya bermula 1 Februari 2021 sekaligus sebagai Profesor di Centre of Islamic Finance Education and Research (CIFER).  Beliau asalnya adalah Professor di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang disertainya selama lebih 21 tahun semenjak 1999 dan dipinjamkan ke UniSHAMS untuk tempoh dua tahun. Beliau juga telah diperkenan oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA) sebagai Ahli Dilantik, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bermula 30 Jun 2022. Sebelum itu beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk Tabung Haji bermula 19 Januari 2022 sehingga 19 Julai 2022. 

Beliau mempunyai pengalaman industri yang luas dalam Syariah dan kewangan Islam dan dilantik menjadi ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sejak 2014, dan pernah menjadi ahli Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia (MPS BNM) selama 2 penggal (6 tahun) dari 2013 hingga 2019. Beliau juga dilantik sebagai ahli Majlis Penasihat Syariah BIMB bermula Februari 2020 dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Sun Life Takaful bermula 1 April 2021. Pada masa yang sama beliau juga adalah ahli Jemaah Ulama MAIK (Fatwa Kelantan) sejak 2018. Beliau juga adalah ahli Jawatankuasa Waqaf Majlis Ugama Islam Negeri Pahang bermula Oktober 2020. Beliau juga diperkenan oleh Sultan Kedah untuk menjadi ahli Majlis Zakat Kedah bermula September 2021. Baru baru ini, beliau telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong untuk dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Diraja untuk Tabung Haji.

Beliau juga merupakan ahli Panel Pakar Syariah JAKIM semenjak 2019 dan sebelum itu adalah ahli Panel Pakar Muamalat JAKIM pada 2016 hingga 2018. Pada Julai 2018, beliau telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah, Sintok Agro Sdn Bhd, anak syarikat UUM sehingga 2019.  Selain daripada itu beliau juga adalah ahli Majlis Chartered Institute of Islamic Finance Professional (CIIF) yang sebelumnya dikenali sebagai Association of Chartered Islamic Finance Professional (ACIFP) dati tahun 2017 sehingga 2020.

Sebelum itu beliau adalah Penasihat Syariah di Hong Leong Islamic Bank, Penasihat Syariah Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Konsultan Syariah untuk institusi kewangan Islam sejak 2008 hingga 2013 yang mana beliau terlibat secara langsung merangka produk-produk baru perbankan Islam dan kertas kewangan seperti sukuk. Beliau juga turut terlibat dalam merangka standard kurikulum Muamalat dan Kewangan Islam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi sejak antara 2011 hingga 2014.

Dr Asmadi menamatkan pengajian Thanawi Empat di Karachi Pakistan pada tahun 1992 dan pengajian tinggi peringkat Sarjanamuda Shariah (Kepujian) di University of Jordan pengkhususan Fiqh and Usul fiqh pada tahun 1997. Kemudiannya beliau menamatkan Master and Phd dalam bidang yang sama pada tahun 1999 dan 2005 di International Islamic University Malaysia (IIUM). Beliau juga memegang Chartered Islamic Finance Professional (CIFP) pada tahun 2010 dan Perancang Kewangan Islam (IFP) pada tahun 2012.

Beliau banyak dijemput sebagai pembentang, pengucap utama, pendiskusi dalam persidangan dan seminar peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau menulis beberapa buah buku antaranya ialah Islamic Finance Legal Framework pada 2020, Q&A Muamalat pada tahun 2016, buku “Islamic Banking: Operation and Instruments” pada tahun 2015 dan menyumbang banyak artikel untuk penerbitan peringkat antarabangsa. Pada masa ini beliau adalah Sidang Pengarang untuk beberapa jurnal nasional dan antarabangsa.

Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan