Skip to main content

Majlis Apresiasi Kenaikan Pangkat Pegawai UniSHAMS 2024 Berlangsung Meriah

| PRO UniSHAMS | Berita

    29 Ogos 2024 | Kuala Ketil – Majlis Apresiasi Kenaikan Pangkat Pegawai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) Tahun 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Eksperimen pada petang ini.

    Majlis yang bermula pada jam 2:00 petang itu disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Dato' Haji Mohd Harif, Naib Canselor UniSHAMS, yang hadir bersama isteri, Puan Hajjah Norsyema Hani Datuk Haji Mahad Noor. Turut memeriahkan majlis adalah barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif (JPE), penerima kenaikan pangkat, serta pasangan dan ahli keluarga masing-masing.

    Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pendaftar, Tuan Haji Fahmi Syeikh Omar, diikuti oleh ucapan daripada Naib Canselor. Dalam ucapannya, Naib Canselor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua penerima kenaikan pangkat. Beliau turut menyuarakan harapan agar para penerima terus menyumbang kepada kemajuan universiti dan memanfaatkan peluang kenaikan pangkat ini dengan sebaik mungkin.

    Majlis diteruskan dengan jamuan dan acara utama, iaitu penyampaian Sijil Penghargaan Kenaikan Pangkat kepada para pegawai. Seramai 42 pegawai akademik dan pentadbiran yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengelola Universiti menerima penghargaan dalam majlis ini.

    Majlis ini berlangsung dengan penuh kemeriahan dan memberi pengiktirafan kepada pegawai-pegawai UniSHAMS yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.

    Sustaining Knowledge Through Wisdom