VICE CHANCELLOR
PROFESOR DR. MOHD AMY AZHAR BIN DATO’ HAJI MOHD HARIF
C.A.(M)., A.M.P., P.P.S..
Chief Executive / Vice Chancellor
Universiti Islam Antarabangsa
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS)
Profesor Dr Mohd Amy Azhar bin Dato’ Haji Mohd Harif telah dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang ketiga berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2024, sekaligus sebagai Profesor di Kulliyyah Kewangan Islam, Sains Pengurusan & Hospitaliti.
Anak kelahiran Lenggong, Perak merupakan Profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan & Perbankan di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang disertainya selama lebih 25 tahun semenjak 1999 dan kini dipinjamkan ke UniSHAMS untuk tempoh satu (1) tahun. Beliau sebelum ini dilantik sebagai Penolong Naib Canselor, Kolej Perniagaan UUM dan Pengarah Kanan bertaraf Penolong Naib Canselor, Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan serta pernah menggalas tanggungjawab besar dalam pentadbiran UUM, menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dekan, Pengarah, Timbalan Dekan dan Pengetua Kolej Kediaman. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pengarah-Pengarah Hal Ehwal Pelajar IPTA.
Beliau juga mempunyai pengalaman industri yang sangat luas dalam bidang Francais, Kewangan, Perusahan Kecil & Sederhana (PKS), Keusahawanan, Kewangan Korporat, Perakaunan, Pelaburan Korporat dan Hospitaliti serta pernah dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat dan Pengerusi Jawatankuasa Audit dalam syarikat terkemuka seperti Khee San Berhad, Impiana Hotel Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PERNAS) dan Bio Osmo Berhad.
Selain itu, beliau turut dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Syarikat Malaysia International Franchise: MyFranchise Sdn. Bhd., Ikhtiar Factoring Sdn. Bhd., dan merupakan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Alpha Precision Sdn. Bhd.
Profesor Dr Mohd Amy Azhar juga adalah ahli Malaysian Institute of Accountant (MIA) dan memiliki keahlian penuh Chartered Accountant of Malaysia C.A.(M) sejak tahun 2000. Beliau telah menamatkan pengajian Thanawi Empat (Sijil Menangah Agama: SMA) di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh, Perak pada tahun 1990 dan melanjutkan pengajian ke Matrikulasi UUM, serta menamatkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) di UUM, pengkhususan Perakaunan/Pengauditan/Percukaian pada tahun 1997. Kemudiannya beliau menamatkan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di UUM pada tahun 1999 dan tahun 2002, beliau berjaya melengkapkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Francais dan Perancangan Kewangan di University of Southern Queensland, Australia.
Beliau juga terlibat secara aktif dalam penulisan buku dan menyumbang artikel untuk penerbitan peringkat tempatan dan antarabangsa, serta menjadi penyelidik dan panel penasihat dalam bidang akademik dan juga industri. Profesor Dr Mohd Amy Azhar juga merupakan Presiden Persatuan Alumni UUM dan dilantik sebagai Pemegang Amanah Yayasan Alumni UUM serta pernah menerajui Pusat Alumni UUM sebagai Pengarah.