Kunjungan Hormat & Majlis Menandatangani MoU Antara UniSHAMS dan Markfield Institute of Higher Education, United Kingdom
22 Ogos 2024 | Kuala Ketil - Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Dato’ Haji Mohd Harif telah menerima kunjungan hormat daripada Dr. Zahid Parvez, Rektor Markfield Institute of Higher Education (MIHE), United Kingdom, pada petang ini.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSHAMS dan MIHE telah berjaya diadakan di Dewan Senat, disaksikan oleh barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif (JPE), Dekan Kulliyyah, Pengarah Pusat, dan pegawai UniSHAMS.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menekankan kepentingan kerjasama ini sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan mutu pendidikan di UniSHAMS, khususnya dalam bidang penerbitan dan penyelidikan. Kerjasama ini selaras dengan matlamat pembangunan pendidikan MIHE, sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam yang berpusat di Leicestershire, United Kingdom.
Rektor MIHE, yang mengunjungi kampus UniSHAMS buat pertama kali, melahirkan rasa teruja melihat pembangunan pesat UniSHAMS sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Islam milik penuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sejak penubuhannya pada tahun 1994.
Pemeterian MoU ini dijangka membuka ruang kepada kerjasama akademik rentas sempadan secara strategik, termasuk pelaksanaan program mobiliti antarabangsa untuk pelajar dan staf, penganjuran seminar, serta penerbitan dan penyelidikan. MoU ini diharapkan menjadi pemangkin hubungan yang lebih erat antara kedua-dua institusi pada masa akan datang.
Terdahulu, Dr. Zahid tiba di Lobi Utama, Bangunan Canselori Tan Sri Uztaz Azizan Abdul Razak, disambut oleh barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif (JPE) sebelum dibawa melawat Galeri Tuanku Canselor dan meninjau persekitaran kampus UniSHAMS. Beliau kemudian mengadakan pertemuan ringkas bersama Prof. Dr. Mohd Amy Azhar di Bilik Naib Canselor.