Program Senamrobik Meriahkan Minggu Silaturrahim Ambilan Sesi Ogos 2024
Kuala Ketil, 21 Ogos 2024 - Pusat Sukan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) serta UniSHAMS Dragon Boat Club (UDBC) telah menganjurkan program senamrobik sempena Minggu Silaturrahim Ambilan Sesi Ogos 2024. Program ini merupakan inisiatif untuk memupuk gaya hidup sihat serta semangat kesukanan di kalangan pelajar baru.
Acara tersebut bermula seawal jam 8.30 pagi di perkarangan Kompleks Sukan dengan ucapan oleh Encik Mohd Anwar Fadhli Johari, Pengarah Pusat Sukan. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan berharap semangat kesukanan dapat diteruskan sepanjang tempoh pengajian di UniSHAMS. Sesi senamrobik dipimpin oleh instruktor berpengalaman dan diikuti dengan penuh semangat oleh para peserta, mencipta suasana ceria dan bertenaga.
Selepas senamrobik, pelajar dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk menyertai pelbagai aktiviti sukan seperti bola tampar, futsal, dan bola jaring yang dijalankan serentak. Aktiviti-aktiviti ini tidak hanya memberi peluang kepada pelajar untuk bersukan, tetapi juga untuk mempererat hubungan silaturrahim di kalangan mereka. Program tersebut berakhir sekitar jam 11.00 pagi.