Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu UniSHAMS Ambilan Sesi Ogos 2024
20 Ogos 2024 | Kuala Ketil - Pelajar baharu Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) bagi ambilan Sesi Ogos 2024 telah mengakhiri majlis lafaz ikrar dengan penuh kesungguhan di Dewan Eksperimen pagi ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UniSHAMS, Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Dato' Haji Mohd Harif, serta disaksikan oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif (JPE), Dekan-dekan Kulliyyah, dan Ketua-ketua Jabatan.
Lafaz ikrar ini dipimpin oleh Saudara Amjad Syahmi Ishak, pelajar program Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan Kepujian. Ikrar yang dilafazkan kemudian diserahkan kepada Pendaftar UniSHAMS, Tuan Haji Mohd Fahmi Sheikh Omar. Ikrar ini menjadi tanda komitmen para pelajar baharu untuk mematuhi segala peraturan universiti dan menjunjung tinggi nilai-nilai serta etika sepanjang tempoh pengajian mereka di UniSHAMS.
Selepas majlis, para tetamu berpeluang meninjau reruai pameran yang disediakan oleh persatuan dan kelab pelajar, yang dikendalikan oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM). Reruai pameran ini menyediakan pelbagai maklumat tentang aktiviti pelajar serta memberi gambaran tentang gaya hidup kampus yang aktif dan bermanfaat di UniSHAMS.