Skip to main content

UniSHAMS Terima Pendaftaran Kemasukan Pelajar Baharu Ambilan Sesi Ogos 2024

| PRO UniSHAMS | Berita

    Kuala Ketil, 18 Ogos 2024 – Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dengan jayanya telah menerima pendaftaran pelajar baharu bagi Ambilan Sesi Ogos 2024, pagi ini. Sesi pendaftaran berlangsung di Kolej Kediaman Ibnu Sina dengan penyertaan seramai kira-kira 327 pelajar yang berjaya mendaftarkan diri.

    Setelah sesi pendaftaran selesai, Majlis Taklimat Bersama Waris diadakan di Dewan Permaisuri Tuanku Hajah Haminah. Majlis tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr Mohd Amy Azhar Dato’ Haji Mohd Harif, dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif, Dekan Kulliyyah, Pengarah Pusat, dan Pegawai UniSHAMS.

    Dalam ucapannya, Naib Canselor menyeru para pelajar agar menanam iltizam yang tinggi dan mengambil peluang menuntut ilmu di UniSHAMS dengan sebaiknya. Beliau juga menggesa para pelajar untuk terus mengasah bakat dan kemahiran demi mencapai kejayaan cemerlang serta mempersiapkan diri untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang kompetitif.

    Beliau turut mengalu-alukan kedatangan para pelajar dan merakamkan setinggi penghargaan kepada mereka dan waris kerana memilih UniSHAMS sebagai destinasi pengajian. Majlis ini turut dimeriahkan dengan reruai informasi daripada pelbagai agensi kerajaan dan korporat seperti Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Bank Islam Malaysia Berhad, Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta reruai Kulliyyah-Kulliyyah UniSHAMS dan gerai jualan Usahawan Siswa UniSHAMS.

    Pelajar yang telah mendaftar akan mengikuti program Minggu Silaturrahim (MSR), iaitu program orientasi di bawah kelolaan Pusat Hal Ehwal Pelajar, yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Ogos 2024.

    Untuk makluman, perlanjutan pertama bagi permohonan dan pendaftaran untuk Ambilan Sesi Ogos 2024 akan dibuka semula pada 25 Ogos 2024 sehingga 5 September 2024. Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pemasaran dan promosi boleh hubungi talian Hotline UniSHAMS atau layari laman web rasmi universiti.

    Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga UniSHAMS. Jom Masuk UniSHAMS!

    Sustaining Knowledge Through Wisdom