Skip to main content

Sultan Kedah Dimasyhur Sebagai Canselor KUIN

| Administrator | Berita
    KUALA KETIL - KDYMM Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah bersama- sama KDYMM Sultanah Maliha binti Tengku Ariff, Sultanah Negeri Kedah telah berkenan menghadiri Istiadat Pemasyhuran Canselor & Konvokesyen Kesembilan Belas Kolej Universiti INSANIAH bagi menganugerahkan Ijazah kepada 68 graduan pada sidang pertama di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, Kuala Ketil.
    Dalam acara penuh gemilang itu, istiadat dimulakan dengan sidang khas pengisytiharan pemasyhuran KDYMM Sultan Kedah yang baru sebagai Canselor Kolej Universiti INSANIAH menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah yang mangkat pada 11 September 2017 yang lalu. Watikah pemasyhuran dibacakan oleh Menteri Besar Kedah yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN, YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Turut disaksikan ialah penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pentadbiran) kepada mantan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Diraja Tan Sri Haji Osman bin Haji Aroff.
    Istiadat yang berlansung pada 21 - 22 Oktober 2017 yang lalu menyaksikan seramai 1169 graduan menerima ijazah masing-masing dalam tiga sidang yang berasingan. Dianggarkan lebih tiga ribu pengunjung terdiri dari kalangan waris dan masyarakat setempat memeriahkan suasana konvokesyen dalam dan luar dewan.
    Sehingga kini, KUIN telah melahirkan seramai lebih sebelas ribu graduan dalam pelbagai bidang yang sedang berkhidmat dalam pelbagai lapangan kerjaya. Kajian kebolehpasaran graduan bagi tahun 2017 pula mencatatkan peratusan membanggakan apabila lebih 75% graduan memberikan respon positif di alam kerjaya.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan