Skip to main content

20 Pelajar Perubatan UniSHAMS Terima Bantuan Zakat Kedah

| Administrator | Berita
    KUALA KETIL, 16 Mac – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) hari ini menyerahkan bantuan yuran pelajar program perubatan berjumlah RM 1,054,574.00 kepada Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muádzam Shah (UniSHAMS).
    Bantuan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Sheikh Zakaria Othman kepada Rektor UniSHAMS dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bilik Senat, Bangunan Canselori UniSHAMS, Kuala Ketil. Bantuan tersebut adalah bagi menampung yuran 20 pelajar program Perubatan UniSHAMS yang menghadapi masalah yuran tunggakan kerana jumlah pembiayaan atau pinjaman yang tidak mencukupi.
    Berucap dalam majlis tersebut, Sheikh Zakaria Othman menyatakan kesediaan LZNK untuk terus memberi sokongan dan membantu UniSHAMS dalam aspek yang berkaitan asnaf. “LZNK memperuntukkan jumlah agihan yang besar untuk tujuan memperkasakan pendidikan terutamanya kepada anak-anak asnaf. Dengan ilmu dan pendidikan, mereka nanti diharap mampu mengubah nasib keluarga atau sekurang-kurangnya mempunyai ilmu yang memandu mereka di masa hadapan”.
    “Selepas ini akan ada beberapa kerjasama yang telah dibincangkan bersama pihak UniSHAMS antaranya berkaitan penubuhan Pusat Kajian Fiqh Zakat di UniSHAMS. Bermula ambilan JUN 2018 akan datang, LZNK memperuntukkan RM 1.2 juta untuk lapan program dibawah Biasiswa Penuh Pendidikan LZNK”, katanya.
    Terlebih dahulu berucap menyampaikan aluan ialah Prof. Dato’ Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, Rektor UniSHAMS yang melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada LZNK yang menghulurkan tangan membantu para pelajar menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak beberapa semester. Beliau juga sempat memaklumkan berita gembira apabila menyatakan jumlah pinjaman PTPTN bagi program perubatan telah dinaikkan ke RM 250,000.00 yang dikira cukup untuk menampung keseluruhan yuran pengajian perubatan di UniSHAMS.
    Majlis berakhir dengan simbolik penyerahan bantuan kepada semua 20 orang pelajar yang terlibat. Turut hadir pegawai-pegawai LZNK, ahli-ahli pengurusan tertinggi UniSHAMS dan beberapa orang waris pelajar.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan