PROGRAM KEMBARA DAKWAH
| PRO UniSHAMS | Berita
KUALA KETIL – 6 September, Program Kembara Dakwah bersama Prof. Dr. Ahmad Umar Hashim, Mantan Rektor Universiti Al-Azhar, Mesir. Majlis diadakan di Dewan Eksperimen, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS). Turut hadir bersama Dato' Paduka Syeikh Muhamad Baderuddin bin Haji Ahmad, Mantan Mufti Negeri Kedah.
Ceramah selama hampir 1 jam 30 minit yang disampaikan oleh beliau menegaskan umat Islam untuk memperkasakan ulama dan institusi keilmuan dalam menghadapi situasi dunia berdepan cabaran getir terhadap pemantapan ilmu. “ Ulama ialah golongan yang membawa risalah tauhid dan cahaya petunjuk dari Allah SWT di dunia dan mewakili warisan ilmu Nabi SAW, sekali gus menjadikan sesiapa yang mewarisi ilmu sebagai orang yang beruntung,” katanya pada Program Kembara Dakwah.
Beliau berkata, dalam situasi dunia berdepan cabaran yang sangat getir, tiada jalan keluar yang dapat dipilih oleh umat Islam melainkan melalui pemantapan ilmu dan pemerkasaan institusi keilmuan. “Cabaran ini seperti yang disebutkan dalam hadis ketika sahabat Nabi, Saidina Huzaifah al-Yamani RA bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai apakah kita akan bertemu dengan keburukan setelah kebaikan yang diperoleh pada masa terbabit, Baginda menjawab ya. Kemudian Huzaifah bertanya lagi, apakah selepas keburukan itu akan muncul pula kebaikan, maka Nabi SAW menjawab ya tetapi ia samar seperti kepulan asap,” katanya.
Ceramah disampaikan oleh Prof. Dr. Ahmad Umar Hashim dalam bahasa arab dan diterjamah oleh Dato' Paduka Syeikh Muhamad Baderuddin bin Haji Ahmad.