UniSHAMS Terima Pelajar Baharu Sesi JUN 2019
KUALA KETIL: 22 Jun 2019 – Seribu pelajar baharu mendaftar bagi mengikuti pelbagai program pengajian Sesi Jun 2019 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).
Pendaftaran melibatkan pelbagai jenis program dari peringkat asasi, diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah. Majlis taklimat dan soal jawab waris diadakan bersama pengurusan tertinggi universiti bertujuan memberi pengenalan dan penerangan mengenai isu-isu pengajian pelajar. Turut hadir, Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr. Shamsul Jamili Bin Yeob. “UniSHAMS mengucapkan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran semua waris dan pelajar baru yang telah memilih universiti ini sebagai destinasi pengajian tinggi. Kami di sini sememangnya bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kecemerlangan anak-anak didik dan universiti” katanya, ketika menyampaikan ucapan sebelum majlis menyaksikan para waris bertanyakan pelbagai soalan.
Bermula petang semalam, pelajar baharu telah menjalani minggu silatulrahim yang melibatkan taklimat pengajian, asrama, perpustakaan, penajaan dan sebagainya. Pendaftaran ke UniSHAMS bagi Sesi Jun 2019 masih dibuka sehingga 4 Julai 2019.