Skip to main content

UniSHAMS Terima Dana Bantuan Pakej Prihatin TM

| PRO UniSHAMS | Berita

    KUALA KETIL: 7 April 2020 - Telekom Malaysia (TM) Berhad sumbang RM10,000 untuk Dana Bantuan di bawah Pakej Prihatin syarikat berkenaan bagi membantu meringankan beban pihak yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

    Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Besar TM Wilayah Kedah & Perlis, Encik Anis Ahmad bin Mohd Ibrahim kepada Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr Shamsul Jamili bin Yeob.

    Menurut Encik Anis, sumbangan ini adalah sebahagian komitmen di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat telekomunikasi itu bagi membantu pelajar yang terkesan dengan wabak yang melanda.

    Beliau berharap agar sumbangan ini dapat meringankan bebanan UniSHAMS dalam secara membantu pelajar yang terkandas di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa.

    Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr Rohani binti Desa memaklumkan bahawa terdapat lebih 500 pelajar UniSHAMS yang terkandas dan berada di asrama dan penginapan luar kampus telah menerima bantuan dan keperluan makanan dari pihak universiti, sepanjang tempoh PKP ini.

    Naib Canselor UniSHAMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas sumbangan ini dan berbesar hati sekiranya terdapat agensi korporat lain yang sudi tampil untuk menghulurkan sumbangan dalam menharungi cabaran penularan wabak COVID-19 ini. Beliau turut mendoakan agar semua warga UniSHAMS sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT serta dapat bersama berusaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini.

    Majlis penyampaian telah berlangsung di Bilik Gerakan Kesiapsiagaan COVID-19, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) Kuala Ketil di sini, hari ini.

    TM merupakan agensi korporat yang pertama di Kedah yang menghulurkan bantuan dalam menangani wabak COVID-19. Wakil TM Berhad turut hadir bersama adalah Puan Noridah binti Bachik, Encik Mohd Hilmy bin Ismail dan Encik Zulkifli bin Hashim.

    Warga UniSHAMS sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas keperihatinan pihak TM Berhad. 

     

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan