Skip to main content

KEBIASAAN BAHARU TERUS WARNAI RAMADAN BUAT PELAJAR UniSHAMS

| PRO UniSHAMS | Berita

    Kuala Ketil - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 4 yang dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020 merupakan cabaran besar buat pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang masih terkandas dan tidak dapat pulang, apatah lagi terpaksa berada berjauhan dari keluarga tercinta sepanjang mengharungi bulan Ramadan yang mulia ini.

    Kebiasaan baharu ini pastinya akan terpahat sebagai satu sejarah dan pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan oleh seluruh warga UniSHAMS khususnya, serta seluruh umat manusia secara amnya.

    Namun begitu, nasib kira-kira 570 orang pelajar UniSHAMS ini terus dipantau dan dikawal selia sebaiknya oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Agihan bantuan makanan seperti kurma dan makanan kering telah mula diedarkan kepada semua pelajar yang terlibat sebelum tibanya Ramadan lagi.

    Selain itu, penyediaan makanan dimasak turut disediakan dan diedarkan kepada semua pelajar UniSHAMS yang terkandas akibat penularan wabak Covid 19. Untuk makluman, agihan makanan yang dimasak ini juga telah dilakukan sejak bermulanya PKP 1 hingga sekarang. Antara kakitangan dan petugas yang terlibat ialah Pn. Nurhikmah Mubarak Ali, En. Liwauddin Abu Bakar, Dr Nor Hernamawarni Abd. Majid serta dibantu oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan Jawatankuasa Asrama Ibnu Sina (JAKSA).

    Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr Rohani Desa,  kakitangan dan petugas UniSHAMS berusaha sedaya mungkin untuk memastikan agar keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pelajar yang terlibat berada dalam keadaan terbaik. Makanan dihantar ke semua  Zon Agihan iaitu di Kolej Kediaman Ibnu Sina, Taman Desa Bidara, Taman Insaniah dan Taman Merbau Indah.

    Unit Komunikasi Korporat,
    Bahagian Pemasaran, Jaringan Industri & Komuniti (BPJIK)

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan