MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN PENAJAAN BIASISWA & PINJAMAN PENDIDIKAN
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bakal menawarkan biasiswa pendidikan untuk pelajar di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa serta Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS). Biasiswa LZNK menawarkan pembiayaan yuran pengajian sehingga RM25,000 bagi program peringkat Diploma, RM48,000 bagi program Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa dan RM250,000 bagi program MBBS.
Yayasan Islam Negeri Kedah bakal menawarkan Pinjaman Pendidikan khusus untuk pelajar MBBS secara Sepenuh Masa. Terdapat dua pakej pinjaman ditawarkan iaitu Pakej Pinjaman Ibnu Sina bernilai RM250,000 untuk kuota sepuluh orang pelajar dan pakej Pinjaman Ibnu Khaldun dengan bernilai RM150,000 untuk kuota sepuluh orang pelajar.
“Peranan agensi kerajaan dan korporat dalam merealisasikan hasrat ini amatlah penting. Jaringan kerjasama yang strategik, terutamanya dalam menyalurkan bantuan dan pembiayaan pendidikan dilihat mampu untuk membantu UniSHAMS dalam usaha memartabatkan industri pendidikan secara lebih terancang. Bahkan ianya juga dilihat antara tanggungjawab korporat yang mampu dilaksanakan secara bersama demi maslahah ummah sejagat”, petikan ucapan dari YAB Menteri Besar.
Naib Canselor dalam ucapannya berkata, “UniSHAMS akan sentiasa berusaha dan memastikan program-program keilmuan dan kesukarelawanan yang dijalankan mampu memberi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab UniSHAMS sekiranya dapat berkongsi idea dan kepakaran yang dimiliki bagi meneruskan kelangsungan peningkatan hidup dan sosioekonomi masyarakat sekeliling”, katanya. Majlis selama satu jam itu turut dihadiri oleh SUK, Kewangan serta ahli-ahli majlis mesyuarat.