Skip to main content

KUMPULAN BARKATH TANDATANGAN MoU DENGAN UniSHAMS

| PRO UniSHAMS | Berita

    BUKIT MERTAJAM - Kumpulan Barkath menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS) sebagai inisiatif untuk mengukuhkan jenama serta pembangunan modal insan syarikat sempena sambutan ulang tahun ke-80 syarikat berkenaan pada Jumaat lalu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer berkata, ia juga sebagai mengiktiraf usaha sama untuk berkongsi kepakaran dan bertukar-tukar pengetahuan di antara kedua-dua pihak.

    “Di bawah MoU itu, kami akan menerima pelajar UniSHAMS untuk menyertai program latihan kami dan menghantar kakitangan kami ke institusi tersebut untuk penyelidikan dan pembangunan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kumpulan Barkath di Bukit Minyak di sini.

    MoU tersebut dimeterai oleh Barkath Ali daripada Kumpulan Barkath, manakala UniSHAMS diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan, Korporat & Jaringan Industri), Mohd Zaini Ramli. Hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

    Sementara itu, beliau berkata, sambutan ulang tahun Kumpulan Barkath disambut secara sederhana namun menyifatkannya sebagai bermakna apabila pihaknya turut melancarkan produk baharu iaitu kek buah-buahan Barkath's Bakery yang bakal menembusi pasaran di seluruh pasar raya, kedai serbaneka dan restoran di seluruh Malaysia.

    Selain Sunquick, Kumpulan Barkath turut dikenali sebagai pengeluar utama kepada beberapa produk terkemuka lain seperti gula-gula Hacks, produk makanan dalam tin termasuk Classfood dan Sarina serta beberapa produk berjenama lain seperti Kings dan Kikof.

    Syarikat dibangunkan sejak 1940 itu turut menjadi pengimport tunggal kepada beberapa produk lain seperti pasta tomato Diga, ubat gigi herba Vicco, kayu wangi Cycle serta air mawar berjenama Raj Mahal Rose Water.

    Dalam pada itu, Barkath Ali turut menyampaikan cek bantuan kepada Yayasan OrphanCare bernilai RM127,866 hasil kempen oleh pengurusan salah satu jenama utama Kumpulan Barkath iaitu Sunquick sejak beberapa bulan lalu. “Kempen itu telah bermula sejak Ramadan lalu dengan mengumpul sebahagian daripada hasil jualan produk dan disalurkan kepada yayasan itu. “Saya difahamkan, kutipan dana berkenaan merupakan yang terbesar pernah diterima Yayasan OrphanCare hingga setakat ini,” katanya.
     
    sumber: Sinar Harian

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan