Skip to main content

WEBINAR LOCKDOWN DENGAN BUDAYA BARAKAH

| PRO UniSHAMS | Berita

    10 JUN 2021: Program Webinar Lockdown dengan Budaya Barakah anjuran Unit Pembangunan Modal Insan, Pejabat Pendaftar telah diadakan dengan jayanya secara atas talian melalui Aplikasi Zoom.

    Webinar ini telah disertai oleh 180 orang pegawai akademik dan bukan akademik. Tuan Pendaftar Tuan Haji Mohd Fahmi bin Sheikh Omar selaku moderator telah memulakan webinar dengan kata-kata aluan.

    Seterusnya, Naib Canselor Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim, selaku pembicara khas webinar ini memulakan sesi webinar dengan mengetengahkan definisi BARAKAH dan kepentingan BARAKAH dalam kehidupan seharian. Perkongsian ilmu ini diteruskan dengan 8 tanda-tanda seseorang itu mendapat barakah iaitu mendapat hidayah dalam kehidupan, dikurniakan sifat qanaah (merasa cukup), keluarga yang stabil dan bahagia, diberikan kemudahan untuk menjalankan ibadah, disukai oleh ramai orang kerana sifat ikhlas, anak-anak yang cemerlang dari segi akhlak, rumah yang sentiasa diziarahi tetamu dan doa yang makbul.

    Selain itu, Naib Canselor juga mengingatkan semua peserta webinar tentang peringatan Allah kepada umat Islam seperti Firman Allah dalam Surah Al-Anfal, Ayat 60 iaitu umat Islam perlu membentuk kekuatan dari segala aspek contohnya keutuhan sistem perundangan, sistem sosial dan ekonomi serta memandu kecintaan kepada kekayaan dan kemudahan dalam hidup supaya berada di landasan agama. Dalam membina organisasi yang BARAKAH, terdapat cabaran yang perlu dihadapi seperti salah faham kepada agama dengan mengasingkan urusan dunia dan akhirat, penyakit Wahn iaitu cintakan dunia, tiada penyatuan dan tidak menitik beratkan urusan halal dan haram dalam urusan harian.

    Perkongsian ilmu ini juga ditekankan tentang keberkatan bekerja ketika bekerja dari rumah (BDR) dengan penekanan kepada setiap warga kerja UniSHAMS supaya melaksanakan tugas yang diberikan dengan sebaik mungkin demi memastikan produktiviti dan prestasi dapat dikekalkan.

    Diakhir sesi, Naib Canselor berharap agar sesi perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta seterusnya diberi keberkatan oleh Allah SWT.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan