Skip to main content

UniSHAMS DIJADIKAN SEBAGAI PUSAT PEMBERIAN VAKSIN (PPV) AWAM KEPADA KOMUNITI SETEMPAT

| PRO UniSHAMS | Berita

    Kuala Ketil - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang merupakan PPV ketiga bagi Daerah Baling telah beroperasi semalam. UniSHAMS merupakan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) pertama di negeri Kedah yang dipilih sebagai PPV Awam untuk bersama-bersama melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam usaha Kerajaan menangani penularan wabak Covid 19.

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri Kedah Darul Aman kini telah memasuki Fasa kedua, dan PPV Awam UniSHAMS dijangka akan menyantuni penduduk di sekitar bahagian Selatan Baling iaitu Kuala Ketil, Kejai, Inas, Sedim, Labu Besar, Teloi, Tawar, Bakai dan kawasan sekitarnya. Dianggarkan sebanyak 80% dari jumlah komuniti setempat akan menerima suntikan vaksin menjelang penghujung bulan September 2021.  

    Naib Canselor, Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim menjelaskan bahawa pemilihan universiti ini atas beberapa faktor yang mampu menjadikan program vaksinisasi lebih pantas dan mudah. “Pemilihan KKM berdasarkan faktor demografiknya yang terletak di tengah-tengah Segi Tiga Emas iaitu di antara kawasan Baling, Kulim dan Sungai Petani, selain terletak berhampiran dengan kawasan Gurun dan Sik yang amat strategik bagi mensasarkan jumlah maksima penerima vaksin. Lokasinya di Bangunan A6 (CIFER-UniSHAMS) yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti akses internet, dewan, bilik, tandas, surau, ruang parkir yang selesa dan mencukupi serta mesra OKU, yang pastinya akan memudahkan proses pemberian vaksinasi ini dilaksanakan”.

    “Dalam usaha memastikan tahap keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaannya,  pihak pengurusan UniSHAMS telah menetapkan bahawa laluan masuk utama bagi penerima vaksin dari kalangan penduduk setempat adalah melalui Pintu A dan Pintu B sahaja. Selain itu, pihak university turut menyediakan papan pandu arah ke PPV Awam UniSHAMS untuk memudahkan penerima vaksin “.

    “Pihak pengurusan UniSHAMS amatlah berharap agar sumbangan kerjasama yang diberikan ini akan dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 serta mencapai “Herd immunity” dengan lebih efektif. Bersamalah kita memainkan peranan sebagai frontliners untuk keluarga dan juga komuniti kita. Jangan sesekali kita leka dalam peperangan menentang Covid-19 ini”. Katanya kepada wartawan dalam sidang media di PVV tersebut.

    Walaupun dalam suasana pandemik, UniSHAMS meneruskan penawaran bagi sesi kemasukan Jun, September dan Disember kepada pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM, STAM serta mereka yang ingin meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi di peringkat Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD). Buat masa ini, proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) masih terus dilaksanakan secara atas talian, sehingga pelajar dibenarkan kembali semula ke kampus untuk pengajian secara bersemuka, tertakluk kepada arahan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan