Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti
Bismillahirrahmanirrahim
Kesyukuran kepada Allah SWT, atas limpah dan izinNya dapat kita semua meneruskan perjalanan hidup sebagai hambaNya dalam fasa yang baharu iaitu tahun baru 1443 hijrah.
Sambutan Maal Hijrah adalah tidak lengkap jika tidak dikaitkan dengan perjuangan Nabi Besar Sayyidina Muhammad SAW. Nabi besar yang menjadikan kehidupannya adalah untuk menegakkan kalimah Allah SWT supaya ia sentiasa tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
Manhaj Rabbani ialah kesinambungan daripada usaha kita menerapkan perjuangan Nabi SAW. Juga untuk mendokong cita cita kita untuk membentuk modal insan yang menyelami dan menjiwai hubungan dengan pencipta, iaitu Allah SWT pada setiap aspek kehidupan kita samada kita bersosial, berekonomi bahkan ketika beribadah sekalipun. Nilai Rabbani ini menjadikan Allah SWT sebagai tempat pergantungan mutlak dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi, samada susah mahupun senang. Di atas cita-cita tersebuy, UniSHAMS sebagai sebuah institusi pengajian berteraskan Islam, sememangnya bercita-cita melahirkan generasi yang cemerlang dan berkualiti bukan hanya dari sudut penilaian duniawi, bahkan meletakkan Rabbani sebagai ukuran.
Bertemakan “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” pada tahun ini, kita sebagai warga UniSHAMS haruslah bersedia untuk berkerja dengan bersungguh-sungguh dalam memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik. Usaha ini menuntut kesatuan dan kerjasama semua pihak bagi memastikan cita-cita dan matlamat organisasi yang menjadikan “wadi kecemerlangan Ummah” ini sebagai satu tempat lahirnya para ilmuan dan professional berkualiti yang menyumbang kepada bangsa dan agama. Ambillah pengajaran dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang menyatukan Aus dan Khazraj sehingga akhirnya terbinanya suasana yang bersatu padu, aman dan sejahtera.
Sambutan tahun baru hijrah pada tahun ini disambut dengan norma baharu. Pada masa ini kita diuji dengan pandemic Covid-19 yang benar-benar mencabar jiwa hamba dari segenap sudut. Saya menyeru kepada semua untuk sama-sama menadah tangan berdoa memohon petunjuk, diberi kekuatan dan meminta agar wabak ini diangkat dari bumi ini. Jadikanlah ujian ini sebagai peringatan kepada kita untuk meningkatkan keimanan, memperbanyak amal soleh untuk mendapat redha dan rahmat Allah SWT.
Semoga tahun-tahun yang telah dilalui mematangkan kita untuk menhadapi hari-hari mendatang.
Selamat Menyambut Tahun Baru 1443 Hijrah.