LIBAT URUS UNISHAMS - KAGAT ATM
28 Jun 2022, Baling - Pihak UniSHAMS telah menerima kunjungan dari Angkatan Tentera Malaysia Jabatan Arah KOR Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Ahmad Kamil Bin Haji Abdullah, Pegawai Staf 1 Inspektorat KAGAT bersama Mejar Rahim Bin Awang Teh, Mejar Ahmad Basri Bin Abdullah dan Mejar Shahrul Nizan Bin Husin bagi sesi libat urus bersama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).
Delegasi KAGAT disambut oleh Prof. Madya Dr. Wan Nazjmi Bin Mohamed Fisol, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa bersama Pengarah Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Kaunseling & Psikologi (PPPKP). Sejurus tiba, delegasi merakamkan kenangan dengan bergambar bersama pihak UniSHAMS sebelum perbincangan diteruskan di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Bangunan Canselori, UniSHAMS.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan satu sesi libat urus kolaboratif yang dapat diadakan antara Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Kaunseling & Psikologi (PPPKP) mewakili UniSHAMS dan KAGAT. Pihak UniSHAMS berharap perbincangan ini dapat membuahkan hasil terbaik bagi kedua-dua pihak dalam terus memperkasakan tadbir urus jabatan masing-masing.
Turut hadir dalam sesi libat urus tersebut Pengarah Bahagian Pemasaran, Jaringan Industri dan Komuniti (BPJIK), Bendahari dan Pengarah Pusat Pengajian Siswazah (PPS).