Skip to main content

UniSHAMS Turut Serta Dalam Misi Bantuan Banjir di Baling

| PRO UniSHAMS | Berita

    5 Julai 2022 – Baling: Negeri Kedah sekali lagi digemparkan dengan tragedi bencana kepala air yang telah melanda beberapa kawasan perkampungan di Daerah Kupang, Baling. Ini merupakan kejadian kali kedua seumpamanya selepas kita dikejutkan dengan bencana kepala air di Daerah Yan pada penghujung tahun lalu.

    Kejadian yang berlaku pada 4 Julai lalu telah meragut nyawa tiga orang penduduk, mengakibatkan kerosakan rumah dan infrastruktur setempat. Rentetan itu, Naib Canselor, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan mesyuarat tergempar bersama pihak pengurusan universiti untuk menggerakkan Misi Bantuan UniSHAMS ke kawasan kejadian.  Tanggal 5 Julai 2022, seramai 40 orang sukarelawan dari kalangan kakitangan UniSHAMS telah turun padang bagi menjayakan Misi Bantuan UniSHAMS dengan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Khairiah, yang turut terkesan dengan kejadian bencana kepala air ini.

    Misi Bantuan UniSHAMS diteruskan pada hari seterusnya, apabila Naib Canselor dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif (JPE) telah bersama-sama hadir dengan  tambahan jentera sukarelawan seramai 50 orang. Selain daripada SMA Yayasan Khairiah, Naib Canselor turut menziarahi kakitangan UniSHAMS yang terjejas dengan tragedi tersebut.

    Pihak UniSHAMS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi dan mendoakan semua yang terlibat terus tabah dan sabar dalam menghadapi ujian daripada Allah swt.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan