Program Gotong Royong UniSHAMS Siri 1 Bantu Kekalkan Keceriaan Kampus
22 Ogos 2024 | Kuala Ketil - Program Gotong Royong UniSHAMS Siri 1 telah berjaya dilaksanakan di Dataran Air Pancut, Bangunan Canselori Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, pagi ini. Program ini melibatkan semua staf UniSHAMS dan bermula pada pukul 8.30 pagi.
Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr. Rohani Desa, yang mewakili Naib Canselor. Dalam ucapannya, Dr. Rohani menekankan kepentingan menjaga kebersihan dan keceriaan kampus sebagai tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh semua warga UniSHAMS.
Selepas itu, para peserta diberi taklimat ringkas mengenai amalan 5S oleh Dr. Mohamad Fazali Ghazali. Taklimat ini bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap kekemasan, keselesaan, dan keselamatan di tempat kerja.
Bersempena dengan program ini, satu gimik pelancaran Kempen Keceriaan Merdeka UniSHAMS 2024 turut diadakan. Acara ini disusuli dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil-wakil KPB. Suasana kemudiannya dipanaskan dengan sesi senamrobik yang dikendalikan oleh Pusat Sukan, menambahkan lagi kemeriahan pagi tersebut.
Selepas sesi senamrobik, para peserta dibekalkan dengan peralatan untuk gotong royong. Semua staf UniSHAMS kemudian berpecah mengikut KPB masing-masing untuk melaksanakan aktiviti gotong royong di tempat kerja masing-masing. Program ini menunjukkan semangat kerjasama erat di kalangan warga UniSHAMS dalam usaha memastikan kampus sentiasa bersih, ceria, dan selesa.