Kemeriahan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UniSHAMS 2024
| PRO UniSHAMS | Berita
𝟮𝟰 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 𝟮𝟬𝟮𝟰 | 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗹 - Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan warna-warni, di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, hari ini.
Majlis sambutan kali ini melibatkan penyertaan seluruh warga kerja dan mahasiswa UniSHAMS, telah disajikan dengan aneka juadah serta dihiasi dengan tema sambutan Raya Klasik. Lebih sepuluh buah reruai telah dibahagikan mengikut pembahagian kluster, dengan penetapan gabungan petugas KPB dan mahasiswa yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), Persatuan-Persatuan Kulliyyah, serta Jawatankuasa Asrama (JAKSA), saling bantu membantu untuk menjayakan sambutan kali ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr Muhammad Nasri Md. Hussain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, yang menjalankan tugas Naib Canselor. Turut hadir menyerikan majlis adalah Yang Berhormat Mejar (B) Mansor Zakaria, Ahli Dean Undangan Negeri, Kuala Ketil, Prof. Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban, Pengarah Institusi Kecemerlangan Pengajian Baitulmagdis UUM, dan tetamu jemputan. Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan oleh mahasiswa UniSHAMS.
Kluster Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa dan Pejabat Pendaftar telah dinobatkan sebagai Kluster Tercantik, diikuti oleh tempat kedua adalah Kluster Pejabat Naib Canselor dan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, serta tempat ketiga adalah Kluster Kulliyyah Kaunseling & Sains Sosial (KAUSAS). Sementara itu, Dr Mohamad Alwi Ab Rahman dari Kulliyyah Usuluddin, Sains Al-Quran & Bahasa Arab (KUBRA) dan Pn. Rushda Hadzira Ismail dari Pusat Hal Ehwal Pelajar, masing-masing diumumkan sebagai pemenang Pakaian Tercantik.