Skip to main content

Kontinjen UniSHAMS Muncul Naib Johan Kejohanan SUPTIM Ke- 20

| PRO UniSHAMS | Berita
    𝟭𝟰 𝗙𝗲𝗯𝗿𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟰 | 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗹 – Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (SUPTIM) Ke-20 secara rasminya melabuhkan tirainya hari ini, setelah lebih empat hari kejohanan ini berlangsung dengan penglibatan lebih 758 orang Atlet dan Pegawai yang terdiri daripada 13 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam seluruh Malaysia.
     
    Majlis Perasmian Penutup Kejohanan SUPTIM Ke-20 telah berlangsung dengan penuh kemeriahan, bertempat di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah. Majlis turut disajikan dengan tayangan video rangkuman sepanjang kejohanan serta diwarnai dengan persembahan gimik aksi yang mendebarkan.
     
    Persaingan sengit sepanjang kejohanan, menyaksikan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan pada Kejohanan SUPTIM Ke-20 dengan pungutan 2 Pingat Emas, 4 Pingat Perak dan 1 Pingat Gangsa. Naib Canselor USAS, Prof. Dr Wan Sabri Wan Yusof telah mengetuai kontinjen untuk menerima Piala Pusingan SUPTIM. Sementara itu, Kontinjen Tuan Rumah iaitu Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) mengikuti rapat di tempat kedua dengan hanya dipisahkan dengan perbezaan jumlah kutipan 2 Pingat Emas, 3 Pingat Perak dan 2 Pingat Gangsa, manakala Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (CFS IIUM) berada di tempat ketiga dengan kutipan 2 Pingat Emas dan 1 Pingat Perak.
     
    Prof. Madya Dr Muhammad Nasri Md. Hussain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa, yang menjalankan tugas Naib Canselor UniSHAMS ketika menyampaikan ucapan perasmian, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi Kerajaan dan Swasta, Seksyen Sukan Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Majlis Daerah Baling, Majlis Daerah Kulim, Pejabat Daerah Baling, Pejabat Daerah Kulim, pihak penaja, Ahli Jawatankuasa Induk dan Pelaksana, Sukarelawan, seluruh warga UniSHAMS serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Kejohanan SUPTIM kali ini. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua kontinjen di atas penyertaan dan pencapaian yang telah diraih.
     
    Berdasarkan rekod, kali terakhir UniSHAMS menjadi Tuan Rumah Kejohanan SUPTIM adalah pada tahun 2006 iaitu kira-kira 18 tahun yang lalu. Pada majlis tersebut juga, Universiti Islam Selangor (UIS) telah diumumkan sebagai Tuan Rumah Kejohanan SUPTIM Ke-21 yang dijangka akan berlangsung pada tahun 2026. Semoga pentas kejohanan seumpama ini akan menjadi medan pengukuhan ukhuwwah dan silaturahhim, yang akan terus diperkasakan dengan usaha pemeliharaan jaringan perhubungan di kalangan IPT Islam secara harmoni.
     
    Tahniah diucapkan kepada Kontinjen UniSHAMS atas pencapaian cemerlang kali ini, dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kejohanan SUPTIM Ke-20.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan