Skip to main content

UniSHAMS Terima Sumbangan Terkumpul RM20,000 Untuk Penganjuran Kejohanan SUPTIM Ke-20 Tahun 2024

| PRO UniSHAMS | Berita
    𝟮𝟵 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟰 | 𝗞𝘂𝗹𝗶𝗺 - Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) amat berbesar hati menerima sumbangan terkumpul berjumlah RM20,000 untuk penganjuran Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (SUPTIM) Ke-20 yang bakal membuka tirai bermula pada 11 hingga 14 Februari 2024.
     
    Wakil UniSHAMS iaitu YM. Raja Zulkhairil Ikram Raja Adzhar, Pegawai Belia dan Sukan hadir pada majlis penyerahan sumbangan yang telah dianjurkan oleh Pejabat Daerah & Tanah Kulim pagi ini.
     
    Pada majlis tersebut, YBrs. Tn Haji Mohd Zaini Haji Ramli, Pegawai Daerah Kulim telah menyampaikan sumbangan Pejabat Daerah & Tanah Kulim, serta menyaksikan penyampaian sumbangan seterusnya oleh Majlis Perbandaran Kulim dan 1st Resources Sdn. Bhd. kepada wakil UniSHAMS.
     
    UniSHAMS amat bertuah kerana mendapat komitmen dan sokongan yang tinggi daripada agensi luar, dalam usaha untuk memastikan pelaksanaan Kejohanan SUPTIM Ke-20 berjalan dengan sebaiknya. Kali terakhir UniSHAMS menjadi Tuan Rumah Kejohanan SUPTIM adalah pada tahun 2006, iaitu hampir 18 tahun yang lalu.
     
    Pihak UniSHAMS masih mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada Agensi Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Swasta dan Korporat untuk tampil membantu bagi memberikan sokongan dalam menjayakan penganjuran Kejohanan SUPTIM Ke-20, yang melibatkan penyertaan lebih 758 orang atlit dan pegawai dari kalangan 13 buah IPT Islam yang bertanding.
     
    Pihak UniSHAMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Daerah & Tanah Kulim, Majlis Perbandaran Kulim dan 1st Resources Sdn. Bhd. serta mendoakan agar Allah SWT sentiasa merahmati dan memberikan ganjaran yang berganda kepada semua pihak yang tampil dalam memberikan sumbangan.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan