Kunjungan Hormat KSU, UniSHAMS Ke JKSNK
| PRO UniSHAMS | Berita
𝟮𝟰 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟰 | 𝗔𝗹𝗼𝗿 𝗦𝗲𝘁𝗮𝗿 - Delegasi Kulliyyah Syariah & Undang-Undang (KSU), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah Darul Aman (JKSNK).
Kunjungan hormat ini yang julung kali diadakan ini, diketuai oleh Dr. Mohd Muslim Salleh selaku Timbalan Dekan yang menjalankan tugas-tugas Dekan bersama Dr. Nur Sarah Tajul Urus, Dr. Ahmad Mashhadani, Ustaz. Muhammad Mustakim Abd. Halim, Dr. Iswandi Harahap Burhanuddin dan Ustazah Masyitah Mohd Zainon.
Objektif kunjungan hormat ini ialah pertamanya menjalin kerjasama dalam Persidangan Antarabangsa Syariah dan Perundangan Kali ke-8 (8th International Conference on Shariah and Laws) atau nama singkatannya 8th ICOSL yang dijangka akan diadakan pada 24-25 April 2024 di Dewan Eksperimen, UniSHAMS, Kuala Ketil, Kedah. Manakala objektif yang kedua ialah berbincang hasrat mengadakan Memorandum Persefahaman yang lebih serius di antara kedua-dua pihak.
Pada pertemuan tersebut, pihak JKSNK, diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah iaitu Y.A.A Dato' Syeikh Hj. Abd Rahman Hj. Abdullah, Tuan Syeikh Putra selaku Ketua Pendaftar, Tuan Syeikh Shahmi Awang iaitu Pegawai Penyelidik Kanan, Tuan Syeikh Muhammad Taufiq A. Razak @ Rashid sebagai Hakim Syarie di Zon Selatan Kedah dan Puan Farah selaku Pegawai Syariah.
Rumusan hasil perbincangan kunjungan hormat pada kali ini, adalah pihak JKSNK bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam mengadakan persidangan/seminar/kolokium/bengkel/kursus, penyelidikan dan penerbitan secara tahunan. Usahasama mewujudkan Jurnal Hukum Negeri Kedah akan direalisasikan. Pihak JKSNK juga turut bersetuju untuk membantu membuat semakan kurikulum dan memberi syor selaku pihak industri yang berkaitan program di KSU. Pihak JKSNK juga mencadangkan agar tempoh latihan industri terutamanya di JKSNK dapat dipanjangkan dari 6 minggu ke 2, 4 atau 6 bulan serta surat permohonan latihan industri ke JKSNK dapat ditambahbaik melalui satu permohonan sahaja tetapi mengandungi maklumat yang lengkap.
Pihak JKSNK turut memberi syor agar pihak KSU dapat meluaskan skop program Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang sepertimana yang ditawarkan oleh IPT lain di Malaysia. Selain itu, antara perkara yang turut dibincangkan adalah berkenaan kemudahan mengakses perpustakan di JKSNK, perkongsian halatuju dan kerjaya dalam bidang industri syariah dan perundangan bagi mahasiswa KSU, kerjasama sebagai panel industri melalui cadangan penubuhan Klinik Guaman Syarie dan Perundangan di KSU, UniSHAMS, kerjasama Pusat Sulh JKSNK dengan cadangan penubuhan Pusat Sulh KSU, UniSHAMS dan pihak JKSNK akan terus menyokong dan menyediakan tenaga mahir industri sebagai pensyarah sambilan yang diperlukan di KSU, UniSHAMS.
Semoga kunjungan hormat ini dapat mengeratkan hubungan di antara kedua-dua institusi, demi maslahah masyarakat di negeri Kedah Darul Aman khususnya dan Malaysia secara amnya.