Skip to main content

UniSHAMS Dragon Boat Club (UDBC) Cemerlang Pada "Penang International Dragon Boat Regatta 2023"

| PRO UniSHAMS | Berita
    𝟯 𝗗𝗶𝘀𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟯 | 𝗧𝗲𝗹𝘂𝗸 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗻𝗴 – Kayuhan penuh bertenaga pasukan UniSHAMS Dragon Boat Club (UDBC) telah berjaya merangkul kejuaraan bagi acara 400 meter, “International Junior U24 Open” pada “Penang International Dragon Boat Regatta 2023” yang telah berlangsung bermula 2 hingga 3 Disember 2023, bertempat di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang.
    Pasukan UDBC berjaya mengetepikan cabaran enam pasukan lain pada perlumbaan peringkat akhir dengan jumlah catatan masa terkumpul terbaik 3 minit 25.52 saat, meninggalkan pencabar terdekat iaitu pasukan Lela Cheteria di tempat kedua dan Terengganu Dragon Boat di tempat ketiga.
     
    Pasukan UDBC turut berjaya menduduki tempat keempat daripada lapan pasukan yang bertanding pada peringkat akhir acara 400 meter, “International Premier Open”. Pasukan UDBC hanya ketinggalan 0.07 saat di belakang pemenang perlumbaan iaitu pasukan Thailand Dragon. Pasukan Philippine Dragon Boat Federation menduduki tempat kedua, diikuti pasukan Pacific West Dragon Boat Club di tempat ketiga.
    Temasya kali ini mempertandingkan enam kategori utama, dengan penyertaan lebih 82 pasukan tempatan dan antarabangsa. Malaysia menampilkan penyertaan tertinggi dengan 34 pasukan, diikuti Singapura (14), China (5), Filipina (4), Australia (4), Hong Kong (4), Chinese Taipei (3), United Kingdom (3), Brunei (3), Korea Selatan (2), manakalan Kanada, Indonesia, Jepun, New Zealand, Vietnam dan Thailand masing-masing dengan satu pasukan.
     
    Seluruh warga UniSHAMS merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pasukan UDBC atas pencapaian yang cukup membanggakan ini.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan