Skip to main content

Kunjungan Hormat Delegasi Asean Lecturer Community (ALC) & Majlis Menandatangani MoU Bersama Universitas Buana Perjuangan (UBP) Karawang, Indonesia

| PRO UniSHAMS | Berita
    𝟴 𝗡𝗼𝘃𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟯 | 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗹 – Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menerima kunjungan hormat delegasi ASEAN Lecturer Community (ALC) awal pagi ini. Delegasi diketuai oleh Setiausaha Eksekutif ALC, iaitu Prof. Madya. Dr. Inda Gumilang bersama 50 orang peserta dari kalangan pensyarah dan pelajar beberapa buah universiti di Indonesia tiba di Lobi Utama, Bangunan Canselori Tan Sri Uztaz Azizan Abdul Razak dan dibawa untuk mengunjungi Galeri Tuanku Canselor.
     
    Satu sesi perbincangan berkaitan kerjasama akademik di antara kedua belah pihak telah diadakan di Dewan Senat dan disusuli dengan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UniSHAMS & Universitas Buana Perjuangan (UBP) Karawang, Indonesia. Pemeterian MoU ini telah berlangsung dengan jayanya dan disempurnakan oleh YBrs Dr. H. Sihabudin, SE., MM dan YBrs Dr. H. Puji Isyanto, SE., MM yang mewakili UBP Karawang, manakala YBrs Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri bin Md Hussain selaku wakil UniSHAMS.
     
    Sempena kunjungan hormat ini juga, para delegasi turut menyertai Seminar Antarabangsa yang bertemakan 'Islamic Finance And Future Challenges In Indonesia-Malaysia' yang berlangsung di Dewan Serbaguna. Seramai empat orang pembentang telah membentangkan kertas kerja masing-masing yang terdiri daripada wakil UniSHAMS serta UBP Karawang.
     
    Semoga kunjungan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara UniSHAMS dan ALC serta delegasi universiti dari Indonesia yang hadir, seterusnya menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan