Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (Nou) Di Antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Dan Kolej Vokasional Sungai Petani 1
6 September 2023 | Sungai Petani - Satu Nota Persefahaman (NoU) telah ditandatangani di antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Kolej Vokasional Sungai Petani 1 (KVSP1) yang mencipta landasan baharu bagi kerjasama yang erat antara kedua-dua institusi.
Kerangka kerjasama ini merangkumi pelaksanaan program pendidikan yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan bidang pendidikan, ilmu pengetahuan, kemahiran, kepakaran, dan perkongsian mengenai pelaksanaan kemahiran dan kurikulum program pengajian.
Hasrat pihak KVSP1 yang mahu melihat sebahagian graduannya menyambung pengajian selepas tamat Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk menjadi tenaga kerja mahir berpendidikan tinggi ini telah disambut baik oleh UniSHAMS yang turut menawarkan program pengajian seperti Teknologi Maklumat, Perniagaan dan Perakaunan yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk dipilih oleh pelajar lepasan DVM.
NoU ini telah ditandatangani oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Nasri Md. Hussain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, yang mewakili Naib Canselor UniSHAMS dan Puan Hajah Missiah binti Halim, Pengarah KVSP1. Majlis menandatangani NoU ini telah berlangsung dengan jayanya di KVSP1 yang turut dihadiri oleh Ts. Sufian Mahmood, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri, BPLTV, KPM, Prof. Dr Ahmad Rozelan Yunus, Profesor UniSHAMS, Dr Nor Zuhairatun Md. Radzi, Dekan Kulliyyah Muamalat & Sains Pengurusan, serta pegawai KVSP1 dan UniSHAMS.