Sambutan Ambang Kemerdekaan Sempena Hari Kebangsaan Ke-66 Dan Program Citra UniSHAMS: Gotong Royong Perdana
30 Ogos 2023 | Kuala Ketil – Pusat Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan sambutan Ambang Kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan Ke-66 negara, peringkat UniSHAMS dan Program Citra UniSHAMS: Gotong Royong Perdana.
Program bermula seawal jam 8:30 pagi, di mana para peserta dikehendaki untuk berkumpul di perkarangan Bangunan A8, UniSHAMS.
Program telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Zaini Haji Ramli, Timbalan Naib Canselor Kelestarian Institusi & Jaringan Industri (TNCK) serta dihadiri oleh Pengarah, staf Pusat Hal Ehwal Pelajar dan seluruh mahasiswa/wi UniSHAMS.
Usai ucapan perasmian, program diserikan dengan gimik pelancaran serta serahan bendera Malaysia kepada perasmi, sebelum menyanyikan lagu ‘Jalur Gemilang’ secara bersama.
Mengakhiri program, para peserta bergerak ke Bangunan Kulliyyah masing-masing untuk memulakan Program Citra UniSHAMS: Gotong Royong Perdana. Program seumpama ini diadakan bagi menyemai semangat kebersamaan di kalangan staf dan mahasiswa/wi serta memupuk rasa tanggungjawab dalam pemeliharaan kampus dan alam sekitar.