Skip to main content

Bengkel Pengenalan Penyelidikan Kuantitatif Dan Aplikasi Statistical Package For The Social Sciences (Spss) Dalam Bidang Sains Sosial (Pengajian Islam)

| PRO UniSHAMS | Berita

    20 Ogos 2023 | Kuala Ketil - Bengkel (latihan akademik) ini telah berjaya dilaksanakan pada 20 Ogos 2023 iaitu pada hari Ahad. Ia dianjurkan oleh Kulliyyah Syariah dan Undang-Undang, Kluster Syariah dan Undang-Undang, UNISHAMS dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Kedah dan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

    Bengkel ini merupakan komponen ilmiah yang saintifik dan sangat diperlukan dalam penyelidikan kuantitatif dalam bidang bidang sains sosial khususnya pengajian Islam. Ilmu pengetahuan dan teknik menggunakannya amat relevan agar dapat diterapkan dalam penyelidikan akademik bagi ahli akademik dan pelajar pascasiswazah terutamanya di UniSHAMS. Objektif bengkel ini ialah pertamanya memberi pemahaman teori dan amali penyelidikan kuantitatif dan kaedah mengaplikasikannya bagi ahli akademik dan pelajar pascasiswazah UniSHAMS. Manakala objektif yang kedua ialah memberi perhatian kepada penyelidikan saintifik, dan saling kebergantungan antara saintifik dan akademik.

    Penceramah jemputan bengkel ini ialah Prof. Madya Dr. Asyirah Binti Abdul Rahim. Beliau adalah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan Industri-Komuniti, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM). Tajuk ceramah yang telah disampaikan ialah Asas Penyelidikan Kuantitatif Dalam Bidang Sains Sosial (Pengajian Islam): Perkongsian Pengalaman di USM. Manakala penceramah jemputan kedua ialah Encik Masri Azrul Bin Nayan. Beliau merupakan Pensyarah, Pusat Pengajian dan Penyelidikan Kewangan Islam (CIFER), UniSHAMS. Tajuk ceramah beliau berkaitan Pengenalan: Asas SPSS (Bahagian 1) dan Amali / Bengkel SPSS (Bahagian 2).

    Jumlah peserta adalah seramai 30 orang yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar pascasiswazah di peringkat sarjana dan doktor falsafah dari pelbagai universiti termasuk UniSHAMS, USM, UKM dan UniMAP meliputi bidang pengajian Islam (Syariah, Bahasa Arab, Usuluddin), Undang-Undang, Kaunseling, Kewangan Islam, Pengurusan, Seni Kreatif dan Sains Kesihatan. Semua peserta amat berpuashati berbengkel seharian dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang tanpa berganjak. Bengkel ini telah diadakan di Dewan Serbaguna, Bangunan Canselori Tan Sri Ustaz Azizan bin Abdul Razak, UniSHAMS. Semoga semua beroleh manfaat dan dapat mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam penyelidikan masing-masing. Semoga berjumpa lagi pada masa akan datang.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan