Skip to main content

5 Mahasiswa UniSHAMS Terlibat Nahas Jalan Raya

| PRO UniSHAMS | Berita

    22 Ogos 2023 | Sungai Petani – “Malang tidak berbau”, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) menerima perkhabaran duka apabila 5 orang mahasiswanya telah terlibat dalam suatu nahas jalan raya berhampiran Jalan Kuala Ketil-Sungai Petani awal pagi semalam. 

    Mangsa terdiri daripada Muhammad Nasrullah Mohd Sabri (Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Kepujian, Semester 4) maut selepas dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani manakala empat rakan yang lain iaitu Muhammad Farhan Ibrahim (Diploma pengajian Islam, Semester 3), Muhammad Abdul Hadi Ahmad (Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Kepujian, Semester 3), Ammar Hashim (Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Semester 3) serta Muhammad Muzammil Anuar (Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan Kepujian, Semester 3) telah mendapatkan rawatan di hospital berkenaan. 

    Sumber yang diperolehi mendapati bahawa, kejadian tersebut berlaku berpunca daripada kereta yang dipandu oleh Ammar Hashim telah hilang kawalan lalu terbabas ketika dalam perjalanan. Allahyarham Muhammad Nasrullah dikatakan masih berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital, namun mula tidak sedarkan diri apabila tiba di sana. 

    Sementara itu, Dr Rohani Desa, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni dan beberapa pegawai Pusat Hal Ehwal Pelajar telah bergegas ke hospital untuk bertemu kesemua mangsa dan waris. Beliau mewakili UniSHAMS turut menyampaikan sumbangan kecemasan kepada En. Mohd Sobri Harun, iaitu  ayahanda kepada Allahyarham Muhammad Nasrullah. Jenazah kemudiannya dibawa pulang untuk dikebumikan di Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan. 

    Warga UniSHAMS merakamkan ucapan takziah kepada semua yang terlibat. Semoga Allah mengurniakan kesembuhan kepada mahasiswa yang sedang dirawat serta mengampuni Allahyarham Muhammad Nasrullah dan menempatkan rohnya bersama golongan orang-orang yang beriman.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan