UniSHAMS Meterai Memorandum Perjanjian (MoA) & Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama UUM, UiTM & LZNK
Shah Alam, 3 Ogos 2023 - Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) menerusi kerjasama empat penjuru bersama Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam usaha untuk memperkasakan agenda pembangunan bidang akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat.
MoA ini melibatkan kerjasama penyelidikan yang dijalankan oleh para penyelidik dari keempat-empat buah organisasi untuk melaksanakan analisa berkaitan fatwa-fatwa zakat Negeri Kedah daripada perspektif Maqasid Al-Shariah dan Fiqh Al-Waqi. Majlis menandatangani MoA tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.
MoA ini adalah untuk mengukuhkan kerjasama penyelidikan melalui Geran Kerjasama Penyelidikan (Geran 1+3) yang akan dilaksanakan oleh UUM sebagai induk dan tiga universiti dan industri atau agensi, iaitu UiTM, UniSHAMS dan LZNK.
MoA tersebut telah ditandatangani Prof. Dr Mohd Fo'ad Sakdan mewakili UUM, manakala UiTM diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd Janor, UniSHAMS diwakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim dan LZNK oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Syeikh Zakaria Othman. Selain itu, majlis menandatangani MoU di antara UiTM dan UniSHAMS turut berlangsung dengan jayanya.
UniSHAMS sedang giat memperluaskan jaringan kerjasama dengan merentasi pelbagai institusi serta industri di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan kualiti dalam bidang akademik dan penyelidikan, serta memberi sumbangan berimpak tinggi kepada masyarakat. Pemeterian MoA dan MoU secara strategik, akan turut membantu UniSHAMS dalam penarafan MYRA seperti yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Wakil UniSHAMS yang hadir bersama pada majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Dekan Kulliyyah Syariah & Undang-Undang.