UniSHAMS Menyambut Baik Hasrat Menteri Pendidikan Tinggi Untuk Melaksanakan Sistem Pendidikan Secara Anjal
Kuala Ketil, 29 Mei 2023 - Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Prof. Dr Asmadi Mohamed Naim ketika dihubungi, menyambut baik hasrat pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bakal melakukan beberapa perubahan untuk menarik minat golongan muda di negara ini bagi menyambung pengajian seterusnya ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi kaedah pelaksanaan sistem pendidikan secara anjal.
Prof. Dr Asmadi turut menyatakan kesediaan pihak Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) dalam memenuhi hasrat pihak KPT untuk melaksanakan sistem pendidikan secara anjal iaitu pertama; kaedah pembelajaran secara fizikal selama beberapa tahun di universiti dan rumah, kedua; pemendekkan tempoh pengajian bagi beberapa kursus dari empat (4) tahun ke tiga (3) tahun, ketiga; pengendalian kursus asasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan kelayakan asas kemasukan, keempat; kemasukan secara terus ke tahun kedua bagi pelajar lepasan Politeknik, dan kelima; penekanan terhadap Latihan Industri dan program berasaskan kerja (work-based learning programme) seperti yang telah diumumkan semalam oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin.
Naib Canselor yang kini mengikuti persidangan dan siri lawatan antarabangsa berpendapat bahawa, inisiatif yang telah diumumkan pihak KPT ini amat bertepatan dalam berhadapan dengan cabaran perubahan senario pendidikan hari ini. Beliau juga yakin, usaha ini mampu untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan ilmu serta mampu untuk menarik minat golongan muda menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Ujarnya lagi, pihak UniSHAMS turut mempelawa golongan muda khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang bakal menerima keputusan tidak lama lagi untuk memohon dan mengikuti program pengajian yang ditawarkan di sini. Sebanyak 42 program pelbagai bidang dan peringkat pengajian, bermula dari peringkat pengajian Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Diploma Pasca Siswazah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah ditawarkan di UniSHAMS. Kesemua program ini juga mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diluluskan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).