Skip to main content

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA

| PRO UniSHAMS | Berita

    Perutusan Naib Canselor UniSHAMS

                                                                                                            Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim 

    Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.

    Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-58.

    Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan.
     
    Pencapaian Malaysia selama ini, dengan mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama, bertatih dan berjalan jatuh bangun untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban di awal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen.
     
    Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. 
     
    Semoga negara berdaulat ini dipayungi oleh rahmat Allah SWT sebagaimanadalam firman-Nya:
     (سبأ:15) بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
    Bermaksud: “Negeri yang baik dengan Rabb (Tuhan) yang Maha Pengampun”
     
    Akhir kata, saya menyeru kepada semua masyarakat untuk menjaga SOP menghadapi pandemik yang bakal diubah kepada endemik. Saya doakan kita dan keluarga kita semua selamat menghadapi wabak ini.
     
    Selamat Menyambut Hari Malaysia ke 58
     
    “Malaysia Prihatin’’ “Keluarga Malaysia”
     
    Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
     

    Sustaining Knowledge Through Wisdom