UniSHAMS Sediakan ‘Hand Sanitizer’ Sendiri
| PRO UniSHAMS | Berita
Kuala Ketil, Baling – Pandemik Covid 19 yang sedang dihadapi telah menyaksikan kewujudan pembelian panik barangan keperluan kesihatan dan keselamatan, seperti alat penutup mulut dan hidung atau ‘Face Mask’ dan ‘Hand Sanitizer’. Keadaan ini sekali gus menyebabkan bekalan keperluan terbabit telah habis di pasaran dengan begitu cepat sekali, terutamanya pada permulaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan pada 16 Mac 2020 lalu.
Menyedari keadaan dan cabaran ini, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah mengambil inisiatif, menggunakan tenaga dan kepakaran pensyarah yang ada untuk menyediakan ‘Hand Sanitizer’ yang dibancuh sendiri di makmal Kulliyyah Perubatan & Sains Kesihatan bagi menampung keperluan semasa.
Penyediaan ‘Hand Sanitizer’ ini telah dijalankan dengan teliti, dengan menepati spesifikasi kandungan seperti yang telah disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). ‘Hand Sanitizer’ yang disediakan ini mengandungi 75% Isopropyl, Glycerin, Hydrogen Peroxide, Aloevera, pewangi dan pewarna yang dibenarkan. ‘Hand Sanitizer’ini dibekalkan di setiap Jabatan, Pusat, Kulliyyah untuk kegunaan kakitangan dan pelajar UniSHAMS.
Sepanjang tempoh PKP ini juga, pihak UniSHAMS mengambil langkah kawalan keselamatan di setiap pintu masuk Universiti dengan melakukan pemeriksaan suhu badan dan mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung di kalangan kakitangan bertugas dan pelajar. Pihak UniSHAMS memandang serius dan berusaha sedaya mungkin untuk bersama menangani penularan Covid 19.