Skip to main content

MARHABAN YA RAMADAN: “KEDATANGANMU DINANTI, PEMERGIANMU DIRINDUI”

| PRO UniSHAMS | Berita
    KUALA KETIL, 12 April 2021 – Bersempena kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak yang penuh dengan keberkataan, Jabatan Pendaftar UniSHAMS telah menganjurkan program Marhaban Ya Ramadan: “Kedatanganmu dinanti, Pemergianmu dirindui” yang telah pun berlangsung di Dewan Tunku Permaisuri Hajah Haminah.

    Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Fahmi Sheikh Omar, Pendaftar UniSHAMS, diiukuti slot pertama bersama penceramah jemputan Ustaz Abdullah Khairi. Marhaban yang menceritakan pengalaman dan keindahan Ramadan.

    Slot kedua diteruskan dengan slot khas “Tunaikan Zakat Anda” bersama Yang Berbahagia Tuan Sheikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah. Terdahulu, Yang Berbahagia Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim, Naib Canselor UniSHAMS di dalam ucapan beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZNK di atas kerjasama baik yang dijalinkan bersama UniSHAMS. Beliau turut menyeru agar semua kakitangan UniSHAMS dapat mempertingkatkan lagi bayaran zakat melalui kaedah potongan bulanan kepada LZNK. Berdasarkan rekod tahun 2020, jumlah terkumpul bayaran zakat kakitangan UniSHAMS adalah sebanyak RM250,321.60.

    Yang Berbahagia Tuan Sheikh Zakaria Othman yang telah pun berkhidmat lebih 15 tahun di UniSHAMS dan dipinjamkan ke LZNK, akan diserap secara tetap ke LZNK setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman. Pihak UniSHAMS merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan di atas segala khidmat bakti yang diberikan selama ini dan mendoakan kejayaan yang cemerlang buat Yang Berbahagia Tuan Sheikh Zakaria Othman.

    Program ini dihadiri kakitangan UniSHAMS dengan pemantauan dan pelaksanaan SOP yang ketat. Semoga Ramadan kali ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan semoga kita berpeluang untuk merebut ganjaran Lailatul Qadar. Salam Ramadan Kareem buat seluruh kaum muslimin dan muslimat.

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan