Skip to main content

ISTIADAT KONVOKESYEN KHAS UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SULTAN ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH (UniSHAMS) (GANTIAN ISTIADAT KONVOKESYEN KE-22)

| PRO UniSHAMS | Berita

    Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) meraikan para graduan yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2020. Istiadat yang dibatalkan sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19 digantikan melalui satu Istiadat Konvokesyen Khas UniSHAMS (Gantian Istiadat Konvokesyen ke-22) setelah mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah selaku Canselor UniSHAMS.

    Pada istiadat konvokesyen kali ini, UniSHAMS meraikan graduan yang bergraduasi pada tahun 2020 dengan seramai 1428 orang graduan daripada 42 program pelbagai peringkat pengajian yang disediakan oleh UniSHAMS. Penganugerahan istiadat disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim selaku Naib Canselor bagi kedua-dua sesi yang berlangsung pada 30 Mei 2022.

    Yang Berbahagia Naib Canselor turut menyampaikan Anugerah Jaizah Imtiyaz Tuanku Canselor kepada Muhammad Amir Zahin Bin Noor Azhar, graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian, Anugerah Jaizah Imtiyaz Pengerusi Lembaga Pengarah, Anugerah Jaizah Imtiyaz Yayasan Sultanah Bahiyah dan Anugerah Jaizah Imtiyaz Naib Canselor. Setiap penerima Jaizah Imtiyaz menerima sumbangan wang tunai daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad beserta plak dan sijil.

    Pihak UniSHAMS mengucapkan selamat bergraduasi pada tahun ini dan mendoakan agar para graduan terus maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Pihak UniSHAMS juga menyeru graduan untuk terus membawa nama baik UniSHAMS di persada negara dan luar negara sejajar dengan visi UniSHAMS “Melahirkan Ilmuwan Yang Holistik dan Professional Berakhlak Mulia”.

    Sekian, terima kasih.

    Unit Komunikasi Korporat,

    Bahagian Pemasaran, Jaringan Industri & Komuniti

    Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)

    30 Mei 2022

    Melestarikan Ilmu Melalui Kebijaksanaan