Skip to main content

Arena Perdebatan Bahasa Arab IPT & Antarabangsa : UniSHAMS Setanding & Terus Melakar Nama

| PRO UniSHAMS | Berita
    𝟭𝟭 𝗗𝗶𝘀𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟯 | 𝗚𝗼𝗺𝗯𝗮𝗸 - Pasukan Debat Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah menyertai pertandingan Debat Terbuka Bahasa Arab Peringkat Antarabangsa UIAM atau IIUM International Arabic Debate Open (IIADO), anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan rakan strategik Qatar Foundation yang berlangsung pada 8 hingga 11 Disember 2023.
     
    Sebanyak dua buah pasukan yang terdiri daripada lapan orang mahasiswa/wi UniSHAMS telah menggalas cabaran pada pertandingan kali ini. Pusingan pertandingan yang begitu sengit melibatkan 22 buah pasukan dari dalam dan luar negara, telah menempatkan UniSHAMS setanding dan seiring dengan universiti terkemuka lain di Malaysia.
     
    Perkara ini terbukti apabila pasukan UniSHAMS telah memperoleh kemenangan sebanyak empat kali pusingan pertandingan, namun berhadapan dengan kekalahan tipis sebanyak empat kali pusingan. Walau pun dilihat seimbang, pasukan UniSHAMS berjaya menapak dan melakarkan nama dengan menewaskan pasukan gergasi yang telah lama berkecimpung dalam arena perdebatan seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ini menjadi satu lonjakan baharu kepada UniSHAMS, walau pun baru setahun jagung melibatkan diri dalam arena perdebatan ini.
     
    Pertandingan IIADO kali ini, turut menyaksikan kejayaan saudari Gehad Salah Mohammed Mostafa ElBahrawy, dari Pasukan Debat UniSHAMS A dan saudara Abdul Hadi bin Muhamad Faidulatraf, dari Pasukan Debat UniSHAMS B berjaya memperoleh kemenangan sebagai Pendebat Terbaik (Best Debater) sebanyak empat kali pusingan perlawanan. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan, apabila Pasukan Debat UniSHAMS berjaya memberikan saingan dan tekanan hebat dalam pusingan pertandingan serta menampilkan daya aras pemikiran yang tinggi dan kritikal, hujah bidasan yang berkualiti dan Bahasa Arab sebagai bahasa perantaraan.
     
    Pencapaian kali ini juga merupakan kesinambungan kepada kejayaan yang telah diraih pada penyertaan Pasukan Debat UniSHAMS di Pertandingan Debat DiRaja antara IPT 2023, anjuran UiTM pada 17 hingga 19 November 2023 yang lalu. Pada pertandingan tersebut, UniSHAMS telah berjaya melakarkan nama ketika menewaskan pasukan debat dari Universiti Malaysia (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), serta pasukan gergasi seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Selain itu, Pasukan Debat UniSHAMS juga telah memperoleh kemenangan Pendebat Terbaik (Best Debater) dalam pusingan pertandingan iaitu menerusi saudara Muhammad Kamal Izzat Adil, saudara Muhammad Hasif Mohd Hasrin dan saudari Gehad Salah Mohammed Mostafa ElBahrawy. Ini jelas menunjukkan bahawa, Pasukan Debat UniSHAMS mempunyai potensi yang besar dalam arena perdebatan ini.
     
    Berdasarkan keputusan yang diperoleh serta penglibatan Pasukan Debat UniSHAMS dalam beberapa siri pertandingan ini, telah membuktikan bahawa mahasiswa/wi UniSHAMS mempunyai kualiti dan kelayakan untuk berada setanding dengan IPT seluruh Malaysia dalam menyerlahkan bakat dan menaikkan nama UniSHAMS. Kepercayaan yang diberikan oleh pihak universiti merupakan satu pelaburan jangka masa panjang dalam usaha melahirkan mahasiswa/wi yang holistik dan profesional.
     
    Harapan untuk mengharumkan nama UniSHAMS di peringkat global akan dapat dicapai dengan usaha dan cita-cita yang murni oleh seluruh pihak dalam menggembleng tenaga melahirkan lebih ramai lagi pendebat-pendebat UniSHAMS yang hebat dan berdaya saing dalam kategori Bahasa Arab, begitu juga dalam kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
     
    Selamat maju jaya dan terus berusaha melakar nama UniSHAMS ke persada dunia!