Skip to main content

MAJLIS IFTHOR BERSAMA ANAK YATIM DARUL AITAM

| Administrator | Berita

    Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) bekerjasama dengan NGO Kindness Malaysia telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia. Telah diraikan di dalam majlis tersebut ialah 22 warga Rumah Bakti Darul Aitam, Kuala Ketil, Kedah yang terdiri daripada pesakit kanser, anak-anak yatim dan juga anak-anak dari keluarga miskin. Selain itu terdapat juga anak-anak yang tiada tempat tinggal.Mereka semua menetap di bawah satu bumbung di bawah jagaan Encik Rosli (pengasas) dan isteri.

    Majlis bermula dengan sesi suai kenal sesama tetamu yang hadir. Setelah selesai berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah, sumbangan hari raya Aidilfitri disampaikan oleh Pengarah Pusat Bahasa UniSHAMS; Puan Nor Laila binti Saadan, ko-ordinator Kindess Malaysia wilayah utara, Puan Nazihah binti Rusli dan para penumbang yang hadir.  Antara sumbangan yang diberikan ialah duit raya, kuih raya dan keperluan raya seperti tudung dan butang baju melayu. Turut tidak dilupakan juga sumbangan keperluan hari raya untuk keluarga anak-anak tersebut dan juga penjaga sebagai tanda penghargaan.

    Jelas terpancar senyuman kegembiraan di wajah anak-anak tersebut ketika sesi serahan sumbangan hari raya. Menurut pengasas rumah tersebut, inilah tahun pertama anak-anak ini diraikan dengan meriah pada bulan Ramadan. Beliau juga amat berterima kasih pada pihak pengajur kerana menjemput mereka bersama-sama meraikan hari raya Aidilfitri yang akan tiba.

    Sememangnya ketika bulan Ramadan, kita digalakkan untuk bersedekah dan menyantuni mereka yang kurang bernasib baik. Salah satu tujuannya adalah untuk membersihkan hati kita dan mensyukuri nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Semoga segala sumbangan dan tenaga yang diberikan untuk menjayakan majlis ini diberkati Allah. Marilah kita sama-sama meraikan Aidilfitri ini dengan penuh rasa kesyukuran.

    Sustaining Knowledge Through Wisdom