Skip to main content

UniSHAMS Agresif Tangani Covid 19

| PRO UniSHAMS | Berita
    Kuala Ketil, Baling – Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) mengambil langkah agresif dan proaktif bagi menangani penularan wabak Covid 19 dengan menubuhkan Bilik Gerakan Kesiapsiagaan Risiko Wabak Covid 19.
     
    Penubuhan Bilik Gerakan ini merupakan langkah diambil pihak UniSHAMS dalam usaha membendung penularan dan memutuskan rantaian Covid 19 secara berkesan. Ianya juga menjadi pusat pengumpulan maklumat, penyelarasan dan pemantauan keselamatan dan kesihatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pusat ini juga bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan pelajar yang terkandas dan tidak dapat pulang. 
     
    Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr Shamsul Jamili Yeob telah menegaskan bahawa pelajar-pelajar kita berada dalam keadaan sihat dan selamat. Mereka juga dibekalkan dengan makanan dan barangan keperluan asas setiap hari dan menasihati agar pihak waris, ibu bapa tidak perlu merasa bimbang kerana pihak UniSHAMS sentiasa memantau keadaan anak-anak merekan sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan. 
     
    Selain itu, pihak UniSHAMS melalui Pusat Pengurusan Akademik (PPA) dan Pusat Teknologi Maklumat mengambil langkah persediaan untuk melaksanakan kaedah pengajian dan pembelajaran secara atas talian jika PKP ini terus berlanjutan untuk tempoh yang panjang.
     
    Buat masa ini juga, pihak UniSHAMS telah melaksanakan pengajian & pembelajaran secara atas talian untuk baki pengajian semester 2 dan telah membuat penggantian peperiksaan dengan kaedah penilaian kerja kursus, yang dibenarkan berdasarkan Pekeliling Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), serta menunda beberapa tarikh penting berkaitan peperiksaan dan lain-lain.
     
    Berdepan dengan pandemik Covid 19 dan kebiasaan baharu ini, UniSHAMS membuka permohonan atas talian dan meneruskan pengambilan bagi sesi kemasukan Jun 2020. Sesi kemasukan Asasi dijangka pada 31 Mei 2020 dan sesi kemasukan Perdana adalah pada 20 Jun 2020, tertakluk kepada sebarang perubahan.
     
    Naib Canselor dan seluruh warga UniSHAMS turut mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua barisan hadapan di kalangan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua pihak yang terlibat di atas segala khidmat bakti. Semoga mereka ini sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT dan dibekalkan segala kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi perjuangan menangani penularan Covid 19. Kekal selamat dan duduk di rumah. Anda mampu lakukannya.

    Sustaining Knowledge Through Wisdom