Skip to main content

Medic Open Day 2024 - “Igniting Passion For Healing: Discover MBBS @ UniSHAMS”

| PRO UniSHAMS | Berita
    𝟭 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟰 | 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗹 - Kulliyyah Perubatan & Sains Kesihatan (KPSK), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dengan kerjasama Medical Student Association of UniSHAMS (MEDiSHAMS) telah berjaya menganjurkan program Medic Open Day 2024 - “Igniting Passion For Healing: Discover MBBS @ UniSHAMS”.
     
    Perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB. Mejar (B) Mansor Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Ketil. Hadir bersama pada majlis perasmian ini adalah Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif, Dekan KPSK, Pegawai UniSHAMS dan Penceramah Jemputan.
     
    YB. ketika berucap menyatakan bahawa, program ini akan dapat membantu pihak Kerajaan Negeri untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha melahirkan generasi para dokturat yang mampu membela keperluan para pesakit di luar sana.
     
    Ujar beliau lagi, “Saya kira program seumpama ini dapat menambahkan lagi rasa semangat untuk memajukan diri dalam ilmu perubatan khususnya di negeri Kedah ini dan menjayakan misi melahirkan generasi para dakturat yang bukan sahaja pakar dalam ilmu perubatan bahkan ilmu-ilmu agama yang para pelajar akan dibekalkan sepanjang belajar di sini.”
     
    Beliau juga berpandangan bahawa, tema program iaitu "Igniting Passion for Healing" adalah bertepatan dan menggambarkan misi UniSHAMS untuk memberikan inspirasi kepada para pelajar dalam mengejar cita-cita mereka menjadi seorang doktor yang berjaya.
     
    YB. turut meluangkan masa mengikut sesi ceramah bertajuk “Al-Quran dan Sains Perubatan: Panduan Holistik Untuk Kesihatan dan Pengamal Perubatan” yang disampaikan oleh Dr. Muhamad Yusri Musa, Presiden Islamic Medical Association of Malaysia, serta melawat ke beberpa reruai pameran.
     
    Program kali ini telah berjaya menarik penyertaan pelajar dari beberapa buah sekolah sekitar negeri Kedah seperti SMK Baling, SMK Tanjong Puteri, SMK Kuala Ketil, SMK Khir Johari dan Maktab Mahmud Alor Setar. Selain itu, beberapa agensi luar seperti Pusat Kesihatan Daerah Baling dan Emzi Holding Sdn. Bhd. turut terlibat dalam menjayakan program kali ini.
     
    Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan pihak penganjur dan para pengunjung berpeluang untuk melawat ke Mini Zoo, Muzium Anatomi, Makmal Perubatan, dan menyertai program Derma Darah PKD Baling, saringan kesihatan, aktiviti permainan dan pertandingan kesihatan serta mengunjungi reruai jualan.
     
    Medic Open Day 2024 ini juga turut dijayakan dengan penglibatan rakan penaja seperti Zaf Studio, Malaysian Relief Agency, Thong Guan Industries Berhad dan Yakult Malaysia.

    Sustaining Knowledge Through Wisdom