Skip to main content

Himpunan Solidariti Palestine Di UniSHAMS

| PRO UniSHAMS | Berita
    𝟭 𝗡𝗼𝘃𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟯 | 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗞𝗲𝘁𝗶𝗹 – Warga Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) hari ini berkumpul bersama di perkarangan Bangunan Canselori Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak untuk menjayakan Himpunan Solidariti menentang kekejaman yang berlaku terhadap penduduk Palestine.
     
    Program anjuran bersama Pusat Hal Ehwal Pelajar, Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan Pejabat Pendaftar ini menjadi medan untuk menzahirkan solidariti dan tanda sokongan terhadap perjuangan saudara mara di bumi Palestine yang pada ketika ini sedang berhadapan dengan konflik perperangan di semenanjung Gaza. Himpunan ini berjaya mengumpulkan hampir 2,000 peserta dari kalangan warga UniSHAMS yang terdiri dari kalangan kakitangan akademik dan pentadbiran, mahasiswa/wi serta masyarakat setempat.
     
    Presiden MPM, Muhammad Hasif Mohd Nasrin memulakan aluan dan memberikan penerangan perjalanan keseluruhan program dan disusuli dengan ucapan pembukaan oleh Yang Berbahagia Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dato’ Dr Asmadi Mohamed Naim. Naib Canselor dalam ucapannya menegaskan sokongan warga UniSHAMS yang menolak sekerasnya pencabulan hak asasi manusia yang berlaku ke atas penduduk Palestine. Beliau kemudiannya menyempurnakan gimik perasmian, dan seterusnya mengetuai perarakan aman ke Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah. Para peserta yang berpakaian serba hitam telah berarak sambil membawa sepanduk serta mengibarkan bendera, tanda protes terhadap kekejaman yang sedang berlaku ke atas penduduk Palestine.
     
    Setibanya di hadapan dewan, para peserta diperdengarkan dengan pidato yang disampaikan oleh pensyarah Kulliyyah Syariah & Undang-Undang iaitu En. Mohamad Ridhauddin Mohd Salleh dan Dr Salah Mohamed Moustafa Elbahrawy. Selain itu, peserta himpunan turut diperdengarkan dengan ucapan oleh Ustaz Aswad Nasron, mahasiswa program Pascasiswazah UniSHAMS.
     
    Acara kemuncak program adalah penampilan khas Tuan Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Ketua Pegawai Eksekutif, Cinta Gaza Malaysia yang menyampaikan ucapan serta perkongsian pengalaman berkaitan kemelut kekejaman yang sedang berlaku di bumi Palestine. Perkongisan pengalaman serta peristiwa kekejaman ini turut meruntun hati para peserta. Program turut disajikan dengan pementasan oleh mahasiswa/wi UniSHAMS dari Kelab Kesenian & Kebudayaan Pelajar (SACC) dan Kelab Bahasa Melayu yang bertajuk “Perjuangan yang belum selesai”. Gema bacaan doa Qunut Nazilah dan doa Rabitah oleh semua peserta program mengakhiri program kali ini.
     
    Sempena program ini juga, pihak UniSHAMS turut menyampaikan kutipan Tabung Sumbangan untuk Palestine berjumlah RM7,481.00 yang berjaya diraih sepanjang program ini berlangsung dan telah diserahkan oleh Naib Canselor UniSHAMS kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Cinta Gaza Malaysia, sambil disaksikan oleh barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif UniSHAMS.
     
    Pelaksanaan program himpunan secara aman ini telah menunjukkan sokongan padu seluruh warga UniSHAMS serta masyarakat setempat terhadap isu berkaitan kebebasan dan menolak sekerasnya kekejaman yang sedang berlaku ke atas rakyat Palestine.

    Sustaining Knowledge Through Wisdom