Skip to main content

UniSHAMS Lahirkan Graduan Berdaya Saing- Sultan Kedah

| PRO UniSHAMS | Berita
    KUALA KETIL, 15 Oktober-Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah menzahirkan rasa syukur apabila Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS) berjaya menerima penarafan bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia bagi tahun 2022 sebagai sebuah IPT yang berdaya saing.
     
    Baginda bertitah, pencapaian tersebut meletakkan UniSHAMS sebaris dengan IPT awam dan swasta terkemuka lain di negara ini.
     
    "Dan beta amatlah berharap agar UNISHAMS akan terus memacu ke arah mencapai kecemerlangan yang lebih membanggakan di masa hadapan.." Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke 25, sidang pertama di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, UniSHAMS Kampus Kuala Ketil di Baling, Kedah, pagi tadi.
     
    Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Kedah dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
     
    Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
     
    Baginda juga menzahirkan rasa sukacita dan gembira kerana UniSHAMS telah berjaya melahirkan graduan yang memiliki kemampuan daya saing.
     
    "Kemampuan ini perlu disokong dengan tekad, komitmen, dan intergriti yang kukuh. Meskipun mencapai kejayaan sebesar manapun, adalah penting untuk para graduan menjaga intergriti diri, umpama resmi padi makin berisi makin tunduk. Beta berharap bahawa seluruh komuniti UniSHAMS akan terus mengupayakan keunggulan dalam segala hal untuk membawa universiti yang kita cintai ini mencapai prestasi yang lebih Gemilang," titah baginda lagi.
     
    Pada masa sama, Sultan Sallehuddin turut menaruh harapan yang tinggi agar UniSHAMS sebagai sebuah IPT Islam akan terus dipelihara dengan sebaiknya serta diberi suntikan dan sokongan tanpa berbelah bahagi dalam pelbagai aspek.
     
    Ini termasuk pembangunan infrastruktur, penambahbaikan mutu pengajian dan pembelajaran, serta keperluan-keperluan lain yang berkaitan demi menjamin kelangsungan UniSHAMS untuk kekal relevan di masa akan datang.
     
    Dalam pada itu, seramai 1,290 orang graduan UniSHAMS akan menerima ijazah masing-masing dalam pelbagai bidang Istiadat Konvokesyen kali ini.
     
    Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Kedah dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
     
    - Ehsan berita RTM

    Sustaining Knowledge Through Wisdom