Skip to main content

UniSHAMS KEKALKAN JUARA JUALAN TERTINGGI, Peringkat Zon Utara Sempena Pertandingan Siswapreneur Showcase 2019

| PRO UniSHAMS | Berita

    PULAU PINANG - Unit Keusahawanan, Kebolehpasaran dan Latihan Industri (UKKLiS), UniSHAMS menghantar 2 penyertaan daripada Usahawan Siswa yang membawa nama dan produk sendiri dalam Pertandingan Siswapreneur Showcase Peringkat Zon Utara 2019 di Mydin Mall, Bukit Mertajam bermula 18-20 Oktober 2019 , anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

    Mahasiswa jurusan Kulliyyah Usuluddin dan Sains Al-Quran , Siti Sholehah Bt Abdul Talib yang menaikkan nama syarikatnya iatu As-Safar Handmade & Craft berkata, ini pengalaman pertamanya menyertai pertandingan selama beliau menyambung pengajian di UniSHAMS. Beliau bersyukur diberi peluang dan bimbingan oleh UKKLiS kerana hanya 3 penyertaan sahaja yang layak untuk mewakili setiap IPT. Berbekalkan hasil tangan dan idea yang kreatif dalam seni pembuatan beg dan aksesori, beliau berjaya mengungguli kategori Juara Jualan Tertinggi apabila nilai jualannya berjumlah Rm9979.00 dalam hanya tempoh tiga hari , sekaligus menewaskan 10 IPT lain peringkat zon utara.

    Peserta kedua, Amirul Hayat Bin Adnan membawa nama Breaktime Blended iaitu produk kategori minuman untuk dipertandingkan. Beliau berpuas hati dengan jualannya yang melebihi Rm3000.00 dan berharap akan diberi peluang lagi untuk menyertai aktiviti keusahawanan seperti ini. UniSHAMS juga menampilkan kumpulan nasyid mahasiswa iaitu Nur One bagi memenuhi slot pengisian program pada hari Jumaat. Mereka menghiburkan pengunjung selama 2jam dan secara langsung mempromosikan UniSHAMS dengan lebih meluas.

    Majlis Perasmian dirasmikan oleh Dato’ Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik), Kementerian Pendidikan Malaysia. Beliau dalam ucapannya berharap agar mahasiswa dapat membuka minda untuk terus terlibat dalam aktiviti keusahawan walaupun selepas tamat pengajian.

    Puan Rushda Hadzira Bt Ismail selaku Ketua UKKLiS berkata, unit sedang giat mengenal pasti mahasiswa yang berpotensi untuk digilap sebagai Usahawan Siswa dari masa ke semasa dengan pelbagai perancangan dan kerjasama dari  agensi- agensi keusahawanan.

    Semoga UniSHAMS terus menjadi IPT yang sentiasa kehadapan.

    Tahniah kepada juara & peserta 

    Sustaining Knowledge Through Wisdom