Skip to main content

Kem Kesihatan 2020

| Administrator | Berita
    Kem Kesihatan 2020 adalah aktiviti sukarelawan yang dianjurkan oleh Kuliyyah Perubatan & Sains Kesihatan, UniSHAMS dengan kerjasama Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Seramai 19 orang pelajar perubatan dari Cohort 5 dan Cohort 6 telah menyertai kem ini dan ditemani oleh 2 orang pensyarah dan 2 staf sokongan perubatan iaitu Dr Lee, Puan Syariah, Dr. Khairul dan Puan Rusmaliza.

    Kem ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kehidupan seharian masyarakat orang asli dan juga memberi pendedahan baharu tentang proses menjalankan kajian mengenai kolonasi helminth usus dan mikrobiota usus.

    Sepanjang lima hari aktiviti dijalankan, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk mengendalikan setiap kaunter yang ditetapkan. Kaunter-kaunter tersebut adalah kaunter pendaftaran, kaunter BMI dan borang soal selidik, kaunter pengambilan darah, kaunter kaji selidik diet dan akhir sekali kaunter pemakanan ubat cacing. Setiap pelajar berpeluang untuk mengendalikan kaunter yang berlainan setiap hari bagi membolehkan mereka mempelajari perkara baru.

    Pada hari pertama, semua pelajar dan pensyarah telah dibawa mengeliling kampung orang asli oleh Puan Samsiah (adik Tok Batin Razali) untuk mengajak orang asli melibatkan diri dalam kajian yang bakal dilakukan. Mereka juga telah diberikan penjelasan tentang proses yang akan dilakukan seperti pengambilan sampel najis, sampel air kencing, pengambilan darah, borang soal selidik dan pemberian ubat cacing selama 3 hari. Penduduk kampung orang asli yang berminat untuk menyertai kajian ini telah menjalani proses-proses pengumpulan sampel bermula dari hari kedua sehingga hari keempat, manakala pada hari kelima, pendaftaran telah ditutup dan hanya kaunter kaji selidik diet dan pemakanan ubat sahaja dibuka.

    Sebahagian daripada pelajar turut menjalankan aktiviti-aktiviti kesihatan dengan anak-anak orang asli seperti aktiviti bertemakan cara mencuci tangan yang betul dan pemakanan sihat. Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk mengajar anak-anak orang asli tentang kepentingan penjagaan kebersihan dan kesihatan.
    Sambutan yang diterima daripada penduduk orang asli amatlah memberangsangkan. Sebelum tamatnya program, wakil daripada peserta program Kem Kesihatan 2020 telah memberikan plag kepada Tok Batin sebagai tanda penghargaan.
     
    Para pelajar perubatan UniSHAMS berharap akan dapat melibatkan diri dalam program sukarelawan seperti ini bagi membolehkan mereka mempelajari perkara baharu dan mengasah kemahiran mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat yang berlainan.
     
    [widgetkit id="173" name="medica aktiviti2020"]
     

    Sustaining Knowledge Through Wisdom