Skip to main content

UniSHAMS TERIMA PELAJAR BAHARU SESI KEMASUKAN 2020/JUN MELALUI KAEDAH PENDAFTARAN SECARA ATAS TALIAN

| PRO UniSHAMS | Berita
    KUALA KETIL – Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah menerima lebih 900 orang pelajar baharu bagi sesi kemasukan 2020/Jun pada 20 Jun 2020. Lanjutan dari Pandemik Covid-19 dan norma baharu yang diamalkan, pihak UniSHAMS telah melaksanakan pendaftaran secara atas talian bagi program Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Diploma Pasca Siswazah, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah. Terdahulu, pendaftaran program Asasi bagi sesi kemasukan 2020/Jun telah diadakan pada 7 Jun 2020.

                Yang Berbahagia Prof. Dr Shamsul Jamili Yeob, Naib Canselor UniSHAMS turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada para pelajar dan waris kerana telah memilih UniSHAMS sebagai destinasi pengajian dan menegaskan bahawa UniSHAMS adalah setanding dengan IPT ternama lain di Malaysia. Beliau turut menyeru pelajar agar terus mengamalkan norma baharu dengan amalan kehidupan harian yang bersih, sihat dan selamat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta menasihati pelajar agar bijak untuk menguruskan masa dan mendisiplinkan diri secara berterusan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan di dunia dan akhirat.

    Selain itu, UniSHAMS turut menawarkan tempat kepada pelajar Malaysia yang pulang dari luar negara, terutamanya dari negara Timur Tengah akibat Pandemik Covid-19, di mana kaedah pemindahan kredit disediakan. Sehingga kini, UniSHAMS menawarkan 42 program pelbagai peringkat pengajian yang telah mendapat akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan turut menyediakan kemudahan-kemudahan pembiayaan pendidikan kepada pelajar, serta infrastruktur yang kondusif bagi memastikan para pelajar dapat menjalani proses pengajian dengan sempurna dan terbaik. Program-program pengajian di UniSHAMS dengan intergrasi pendidikan Islam dan islamisasi ilmu merupakan antara ‘niche’ utama yang menjadi pilihan pelajar.

    Lanjutan dari penggumuman oleh Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kemasukan semula pelajar IPT secara berperingkat , seramai 157 orang kumpulan pertama pelajar baharu telah pun mendaftar masuk ke asrama pada 4 Julai 2020. Pendaftaran bagi sesi kemasukan 2020/Jun akan terus dibuka dan dilanjutkan sehingga 18 Julai 2020 bagi memberi peluang kepada mereka yang masih belum sempat untuk memohon dan mendaftar. UniSHAMS menjangkakan jumlah kemasukan kali ini akan terus meningkat kepada lebih seribu dua ratus orang pelajar menjelang tarikh akhir lanjutan pendaftaran, berdasarkan trend dan kadar permohonan harian positif yang telah direkodkan.

    Sustaining Knowledge Through Wisdom