Skip to main content

LAWATAN KERJA YANG BERHORMAT EXCO PENDIDIKAN

| PRO UniSHAMS | Berita

    KUALA KETIL – Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) telah menerima kunjungan mahabbah Yang Berhormat Brigedier Jeneral (B) Dato' Haji Najmi Haji Ahmad, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia pada 16 Julai 2020. Turut bersama mengiringi Yang Berhormat dalam lawatan kerja ini adalah Pegawai Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Puan Nurul Huda dan Pegawai Khas, Encik Mohd Hanif.

    Ketibaan Yang Berhormat disambut mesra oleh Naib Canselor, Ahli Pengurusan Eksekutif, Ahli Senat dan Pegawai Kanan UniSHAMS. Satu sesi suai kenal dan taklimat khas berkenaan sejarah penubuhan, perkembangan dan pembangunan akademik, serta program pengajian yang ditawarkan UniSHAMS telah diadakan di Dewan Senat UniSHAMS.

    Yang Berhormat dalam ucapan beliau turut berkongsi berkaitan hasrat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dalam usaha untuk memartabatkan Institusi Pengajian Islam melalui pembangunan Institusi Pengajian Pondok. Selain itu, Yang Berhormat turut menegaskan bahawa UniSHAMS adalah sebahagian dari portfolio beliau dan ingin memastikan UniSHAMS dapat terus membangun dengan cemerlang dan mampu bersaing secara kompetatif dengan mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT). UniSHAMS juga disarankan agar dapat memperkukuhkan jaringan komuniti, khususnya dengan masyarakat setempat. Yang Berhormat turut menyatakan keperihatinan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman terhadap beberapa isu dan keperluan UniSHAMS seperti asrama pelajar.

    Terdahulu, Yang Berhormat mengambil kesempatan untuk meninjau Galeri Tuanku Canselor yang terletak di Bangunan Canselori UniSHAMS. Galeri ini menyimpan koleksi sejarah dan pembangunan UniSHAMS dan telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman, Canselor UniSHAMS pada 17 Februari 2019.

    Pihak UniSHAMS amat berbesar hati serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat di atas kesudian meluangkan masa bersama Naib Canselor, Ahli Pengurusan Eksekutif, Ahli Senat dan Pegawai Kanan UniSHAMS. Semoga UniSHAMS terus gemilang. 

    Sustaining Knowledge Through Wisdom