Skip to main content

HARI PERTAMA NAIB CANSELOR BAHARU UniSHAMS

| PRO UniSHAMS | Berita

    KUALA KETIL – Prof. Dr Asmadi Mohamed Naim secara rasminya dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), berkuatkuasa mulai 1 Februari 2021 untuk tempoh dua tahun. Beliau sebelum ini merupakan Professor di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak tahun 1999. Majlis Serah Tugas Naib Canselor di antara mantan Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr Shamsul Jamili Yeob dan Prof Dr. Asmadi Mohamed Naim telah berlangsung secara atas talian di Dewan Senat sambil disaksikan oleh barisan Pengurusan Eksekutif, Dekan-Dekan Kulliyyah, Ketua-Ketua Jabatan UniSHAMS.

    Prof Dr. Asmadi Mohamed Naim mempunyai pengalaman industri yang luas di dalam bidang Syariah dan Kewangan Islam, serta telah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sejak 2014. Beliau turut pernah menjadi Ahli Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia (MPS BNM) dari 2013 hingga 2019, dan dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat  Syariah BIMB bermula Februari 2020. Pada masa yang sama, beliau adalah Ahli Jemaah Ulama MAIK (Fatwa Kelantan) sejak 2018, selain turut menjadi Ahli Jawatankuasa Waqaf Majlis Ugama Islam Negeri Pahang bermula Oktober 2020. Prof Dr. Asmadi Mohamed Naim juga telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah untuk menjadi Ahli Majlis Zakat Kedah antara tahun 2013 hingga 2015. Beliau juga merupakan Panel Pakar Syariah JAKIM semenjak 2019 dan sebelum itu pernah dilantik sebagai ahli Panel Pakar Muamalat JAKIM pada tahun 2016 hingga 2018. Pada Julai 2018, beliau telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah, Sintok Agro Sdn Bhd, iaitu anak syarikat UUM sehingga 2019.  Beliau juga adalah ahli Majlis Chartered Institute of Islamic Finance Professional (CIIF) dari tahun 2017 sehingga 2020.

    Sebagai ahli akademik, beliau sentiasa berpegang kepada tradisi untuk memperkasakan pengajaran dan pendidikan, menjalankan penyelidikan dan penerbitan, serta merancakkan khidmat kepada masyarakat. Syariah merupakan landasan terbaik kepada pengurusan, kepimpinan, konsultansi dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Ucapan julung kalinya disampaikan hari ini, dan beliau turut menyeru agar semua warga UniSHAMS agar dapat memberikan komitmen yang terbaik, menerusi kesatuan dan perpaduan untuk membangunkan UniSHAMS dan menjadikan ia sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang tersohor, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Kedah menjadikan UniSHAMS sebagai ‘Cordoba of Kedah’.

    Terdahulu, mantan Naib Canselor turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya, serta mendoakan agar semua pihak dapat terus memberikan kerjasama yang terbaik kepada Prof. Dr. Asmadi Mohamed Naim, Naib Canselor baharu yang dilantik, di dalam usaha untuk meneruskan kelangsungan operasi UniSHAMS pada masa hadapan.

    Seluruh warga kerja UniSHAMS mengucapkan “Selamat Datang dan Selamat Menjalankan Tugas”.

    Sustaining Knowledge Through Wisdom